Pemuda UMNO Sabah Serah Bantahan Tulis, Desak Kerajaan Bertindak Tegas Terhadap Kebiadapan China

Kuala Lumpur, 2 Okt – Pergerakan Pemuda UMNO Sabah menggesa kerajaan agar bersikap lebih tegas terhadap China terutama dalam isu perairan dan sempadan kerana yang melibatkan kedaulatan sesebuah negara.

Ketuanya Abdul Aziz Julkarnain berkata pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan China yang disifatkan sebagai biadap kerana tidak menghormati perjanjian antarabangsa termasuk keputusan oleh Mahkamah Timbangtara Antarabangsa The Hague, Belanda yang mengenepikan tuntutan China ke atas Laut China Selatan.

“Isu ini telah menyentuh kedaulatan negara dan kami pihak Pemuda UMNO Sabah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan China. Kami wajib menyatakan bantahan kerana ini adalah merupakan tempat kita.

“Pemuda UMNO Sabah akan membuat bantahan secara bertulis terhadap Kementerian Luar bagi mendesak satu pelan tindakan diadakan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Dilaporkan, suhu di Laut China Selatan kembali tegang berikutan persaingan kuasa besar di wilayah lautan paling strategik di dunia ketika ini menimbulkan ancaman besar kepada kebanyakan negara termasuk Malaysia.

Konflik masa depan dijangka menjadikan Laut China Selatan sebagai platform proksi di antara Barat dan Timur. Perlumbaan antara kuasa Barat yang diterajui Amerika Syarikat (AS) dan Britain dan kuasa Timur oleh China dan Rusia dijangka berterusan dengan menjadikan Laut China Selatan pentas peperangan antara kedua-dua blok kuasa besar ini.

AS menghantar kapal pengangkut USS Benfold pada 21 Julai di Laut China Selatan dengan menjadikannya pelantar kekal untuk menjamin keselamatan dan keamanan Laut China Selatan. Setiausaha Negara AS, Mike Blinken memberi kenyataan berkaitan sokongan penuh kerajaannya terhadap keselamatan negara di pesisir Laut China Selatan termasuk Malaysia, Brunei, Taiwan dan Vietnam.

Seterusnya, Abdul Aziz turut menjelaskan perairan Sabah sangat kaya dengan sumber hasil bumi dan merupakan destinasi pelancongan yang memberikan pulangan ekonomi yang besar buat negara.

“Adalah sangat penting untuk kerajaan bersikap lebih tegas dalam isu ini dan tidak tunduk dengan tekanan dari China, kerana ia merupakan antara penyumbang terbesar terhadap ekonomi negara melalui hasil bumi dan pelancongan.

“Isu yang melibatkan kedaulatan negara tidak boleh dipandang ringan dan kita tidak boleh tunduk dengan sebarang tekanan dari China,” ujarnya lagi.

Sebagaimana maklum, selama berdekad-dekad, China telah menuntut hak maritim ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan yang merupakan laluan perkapalan ke Asia Timur.

Konflik dan pertikaian itu dilihat semakin parah ekoran tindakan China yang turut membuat tuntutan ke atas gugusan pulau di kawasan berkenaan yang dilihat mencetuskan ketegangan di Asia Tenggara.

Kira-kira satu pertiga laluan perkapalan dunia melalui laut itu yang juga dipercayai kaya dengan sumber perikanan dan dipercayai mempunyai simpanan gas serta minyak dalam jumlah yang banyak.

Menurut portal berita The Conversation, Laut China Selatan merupakan kawasan yang luas dan merangkumi 3.6 juta kilometer iaitu dua kali ganda daripada saiz Teluk Mexico.

Februari lalu, Perdana Menteri Kelapan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, isu tuntutan maritim di perairan Laut China Selatan dan kaedah penyelesaiannya perlu dibuat secara aman berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLSO). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.