HSR Ke Bangkok: Itulah Perancangan Kerajaan BN Sejak 2016 Lagi – Najib

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Perdana Menteri (PM) Keenam Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata sememangnya dari dahulu lagi perancangan kerajaan Barisan Nasional (BN) ialah melanjutkan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur (KL)-Singapura ke negara Thailand dan seterusnya disambung ke negara China dan dunia.

Katanya, disebabkan itu beliau sudah mendapat kelulusan awal dari Perdana Menteri Thailand pada tahun 2016 (pautan).

“Tapi perancangan kita ialah mulakan dengan bahagian yang paling diperlukan dan paling tinggi peluang untuk memberi pulangan yang besar iaitu dari Kuala Lumpur ke Singapura sebab sektor ini adalah antara sektor paling sibuk dengan permintaan paling tinggi dalam dunia bagi industri penerbangan (pautan).

“Selepas HSR KL-Singapura berjaya dan siap, barulah kita lanjutkan ke Bangkok. Tapi kerajaan PM8 pula batalkan projek itu untuk digantikan dengan HSR Kuala Lumpur-Johor yang permintaannya jauh lebih rendah,” kata Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu dalam satu catatan di Facebook.

Tambah Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan lagi, seperti dalam posting-postingnya pada bulan Januari tahun ini, beliau telah diberi maklumat bahawa kerajaan PM Kelapan membatalkan projek asal HSR sebab mereka tak setuju bahawa projek itu dianugerah secara ‘open tender’ antarabangsa yang dipantau bersama dengan negara Singapura supaya kita dapat ‘best in class’.

“Ini ialah kerana sudah ada kertas cadangan untuk memberikan projek tersebut kepada syarikat yang memiliki dan mengurus keretapi KLIA Ekspress dari KLIA ke KL Sentral supaya teknologi yang sama akan dilanjut ke Johor Baharu – iaitu syarikat YTL.

“Dalam kertas cadangan kerajaan PM8 juga, subsidi melebihi RM10 bilion juga dirancang untuk diberi bagi membiayai projek baharu HSR Kuala Lumpur-Johor Baharu untuk menampung kerugian sebab jumlah penumpang serta harga tiket diunjur jauh lebih rendah berbanding HSR Kuala Lumpur-Singapura.

Eh.. bukan semua projek besar perlu diberi kepada syarikat tertentu itu sahaja. “Maszlee Malik mendakwa Muhyiddin Yassin mendesak Dr Mahathir Mohamad memintanya meletak jawatan sebagai menteri pendidikan kerana isu kontrak membabitkan YTL Communications Sdn Bhd.. Dalam mesyuarat terakhir bersama beliau, saya ingat lagi, beliau mengatakan, “Presiden Bersatu amat marah dengan anda kerana isu ini…” “Maszlee menambah, beliau diberitahu pada setiap pertemuan bagaimana Muhyiddin mengusahakan ‘kontrak mega’ dan mendesak Mahathir memintanya memanjangkan kontrak berdasarkan kehendak YTL, bukannya mengikut keputusan yang dibuatnya sendiri.” (pautan),” katanya.

Jelas Najib lagi, sebenarnya niat kerajaan PM kelapan untuk memberi projek itu kepada syarikat tersebut dengan menggunakan keretapi yang jauh lagi perlahan dari HSR sebenar ini juga telah didedah oleh Menteri Singapura semasa menjelaskan dalam parlimen Singapura kenapa kerajaan Malaysia sanggup membayar pampasan RM310 juta kepada Singapura untuk membatalkan projek HSR asal (pautan).

“Itulah. Sebab itu, saya saran rancangan asal HSR Kuala Lumpur ke Singapura untuk dikekalkan supaya subsidi berpuluh bilion tidak perlu lagi diberi, supaya kos perjalanan antara Singapura dan KL lebih murah berbanding menaiki kapal terbang.

“Di samping mengurangkan pencemaran udara dengan mengurangkan jumlah penerbangan, supaya projek Bandar Malaysia dengan nilai GDV (nilai pembangunan kasar) sebanyak RM140 bilion boleh dikekalkan demi pembangunan negara dan negara tidak memiliki High Speed Rail yang akan bertukar menjadi Medium Speed rail dari KLIA ke Johor Baharu,” katanya lagi.

Untuk rekod, semalam di dalam ucapan perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, PM Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin selain menyokong pelan kerajaan berhubung pelaksanaan projek HSR ke Johor Bahru, beliau turut mencadangkan laluan ke utara untuk disambung dengan HSR dari Bangkok ke sempadan Malaysia-Thailand. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.