COVID-19: KPM Perlu Cermat Dan Bijaksana, Ugutan Hanya Buat Rakyat Marah – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Okt – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa kurang selesa dengan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ekoran mahu mengambil tindakan ke atas warga pendidik yang masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19.

Ini kerana katanya, seramai 2,000 guru masih enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 itu perlu dikendalikan dengan cermat dan bijaksana.

“Mengugut guru terbabit dipindahkan ke negeri lain yang akan menyusahkan kehidupan mereka dan keluarga adalah pendekatan kurang berhemah dan autokratik.

“Saya percaya masih ada banyak ruang serta peluang untuk memujuk dan meyakinkan guru terbabit supaya mengambil suntikan vaksin COVID-19,” ujarnya dalam kenyatan berkaitan isu terbabit dalam laman facebooknya.

Tegas, sebarang bentuk ugutan akan hanya membuat rakyat marah kepada parti politik yang menguasai kerajaan hari ini.

Ujar beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), jangan cepat menilai guru terlibat daripada sudut Teori X sebaliknya kendali mereka pada kaca mata Teori Y.

“Ini ‘leadership’ yang lebih harmoni. Jumlah 2,000 guru tidaklah terlalu banyak dan mungkin sudah semakin berkurangan ketika saya menulis ini.

“Sepatutnya mereka ini boleh diuruskan ‘case by case basis’ oleh KPM. Bukan melalui pendekatan pukul sama rata. Seperti pendekatan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam isu 779 guru di Johor menolak suntikan vaksin COVID-19 baru-baru. Guru ini perlu didekati dan difahami seorang demi seorang bagi mengetahui apakah punca sebenar mereka enggan divaksin.

“Adakah mereka sememangnya mempunyai alasan yang kukuh tentang risiko kesihatan diri untuk tidak mengambil vaksin tersebut? Jika benar begitu apa langkah terbaik untuk membantu mereka dapat terus berkhidmat kepada anak bangsa?

“Jika mereka tersalah faham mengenai risiko vaksin terhadap kesihatan diri, maka dapatkan pakar kesihatan untuk meyakinkan mereka.”

Katanya, sndai mereka tersalah faham mengenai aspek hukum hakam, dapatkan bantuan ilmuan agama untuk menyedarkan mereka tentang hal sebenar.

“Sekiranya mereka dipengaruhi teori konspirasi tentang COVID-19 dan vaksinasi, dapatkan pakar kaunseling yang boleh memperbetulkan persepsi mereka.

“Kesimpulannya perlu ada program khas untuk membantu para guru-guru kita ini. Jangan hilang keyakinan dan putus asa terhadap guru terbabit.

“Kita masih ada masa yang mencukupi untuk memujuk serta meyakinkan mereka kerana sesi persekolahan adalah secara berperingkat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.