RMK-12 Bersifat Inklusif, Pantau Sikap Diskriminasi Majikan Terhadap Gaji Wanita – Haryaty

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat satu pembentangan yang bersifat inklusif dan mampan selari dengan matlamat kerajaan ‘Keluarga Malaysia’.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata umum mengetahui pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan negara telah memberikan kesan yang serius khususnya dalam pembangunan negara.

Oleh yang demikian jelasnya, cadangan kerajaan untuk memperkasakan penglibatan wanita dalam pembangunan ekonomi dan proses membuat keputusan adalah sangat dihargai dengan penyertaan wanita dalam pasaran kerja disasarkan mencapai 59 peratus pada tahun 2025.

“Malah pelan perancangan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi usahawan wanita juga dilihat sebagai satu pengiktirafan dan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuhkan penglibatan dan peranan golongan wanita dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Namun kata Haryaty lagi, hasil laporan dan maklumat yang diterima, masih wujud sikap segelintir pihak dalam mendiskriminasi kaum wanita khususnya dalam isu penetapan gaji  dan perjawatan teknikal/professional di negara ini.

Tambahnya, adalah suatu yang menyedihkan apabila di era teknologi yang serba maju ini masih lagi wujud pihak yang mempunyai minda kelas ke-3 seperti itu.

“Oleh yang demikian saya mengharapkan agar satu usaha dan tindakan yang komprehensif dari pihak kerajaan dapat dilakukan bagi mengekang isu ini dari menjadi amalan tidak sihat majikan. Kebolehan dan kemampuan wanita di negara ini telah terbukti selari malah ada yang mampu menjalankan tugas yang lebih baik,” ujarnya.- UMNO Online