MOSTI Sasar Peruntukan RM100 Juta Untuk MGC Tahun Depan – Dr Adham

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan peruntukan RM100 juta tahun depan sebagai dana bagi tujuan pelaksanaan pelbagai projek di bawah Malaysia Grand Challenge (MGC).

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata RM80 juta diperuntukkan untuk program MGC tahun ini bagi membolehkan kementerian itu menggalakkan pelaksanaan projek penyelidikan dan pembangunan berkaitan bidang sains, teknologi dan inovasi.

“Dana MGC ini ditawarkan kepada individu termasuk golongan belia berusia 18 tahun ke atas serta syarikat pemula (start-up company) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Pemohon bawah 18 tahun juga boleh dipertimbangkan (memohon) dengan syarat mendapat sokongan daripada badan bertauliah selain memenuhi syarat ditetapkan,” katanya pada sidang media hari ini selepas mengadakan pertemuan secara maya bersama tiga bakat muda yang menghasilkan inovasi kreatif baru-baru ini.

Pada pertemuan itu MOSTI menyumbangkan RM3,000 kepada murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist di Kuantan, Siti Maryam Muzzamir, 11, yang ciptaan beliau – inovasi makanan haiwan ‘Yam 2.0’ daripada kulit udang dan siput, membolehkan beliau merangkul tiga pingat emas pada pertandingan inovasi dan reka cipta di Toronto, Kanada.

Sumbangan RM3,000 juga diberikan kepada gandingan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Nur Liyana Syasya Mohd Zamuri dan Mohd Fahad Saleem, masing-masing 24 tahun, kerana mencipta inovasi Smart Bandage sehingga dinobatkan pemenang 3M Inspire Challenge di peringkat Asia Tenggara.

Dr Adham berkata MOSTI komited untuk memberikan sokongan dan bimbingan kepada bakat-bakat muda tempatan bagi menghasilkan inovasi, bermula daripada peringkat awal.

Justeru, untuk turut membantu bakat-bakat muda di kawasan luar bandar mengetengahkan produk sains dan teknologi mereka, Dr Adham berkata pihaknya akan berusaha memperluaskan program ‘Ruang Reka Komuniti’ ke setiap daerah, yang ketika ini hanya dilaksanakan di Kuala Terengganu dan Paroi, Negeri Sembilan.

“Ruang Reka Komuniti ini bukan sahaja memberi ruang kepada anak muda untuk memahami lebih mendalam tentang sains tetapi juga memperjelaskan bentuk pembangunan kerjaya yang boleh diceburi selepas terlibat dengan inovasi,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.