Kerajaan Sasar Tingkat Sumbangan PMKS Bumiputera Kepada 15 Peratus Pada 2025

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Kerajaan akan meningkatkan daya tahan dan kemampanan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera untuk mencapai sasaran sumbangan 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pencapaian ini akan disokong dengan penyediaan Dana Kemakmuran Bumiputera dan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membantu syarikat dan kontraktor.

Katanya kerajaan juga menggalakkan penyertaan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam bidang ekonomi digital serta industri yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi.

Beliau berkata bantuan kewangan, bimbingan dan permentoran oleh institusi kewangan juga akan diperluas bagi menyokong usahawan Bumiputera.

“Bagi meningkatkan kekayaan Bumiputera, dasar dan pelaksanaan kuota pemilikan kediaman Bumiputera akan diperkukuh melalui kerjasama yang lebih erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga akan memperluas konsep wakaf untuk mempelbagaikan sumber kewangan bagi membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti Bumiputera.

“Dalam hubungan ini, lebih banyak instrumen wakaf akan diperkenalkan, termasuk mewujudkan satu dana wakaf di peringkat nasional bagi menggembleng lebih banyak sumber untuk keusahawanan dan membiayai program pembangunan sosioekonomi.
“Pelan Induk Wakaf Nasional akan diwujudkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap,” kata Ismail Sabri.

Katanya kerajaan juga akan memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera yang mampan menerusi kerangka jaringan keselamatan ekuiti yang akan diperkenalkan supaya penjualan saham atau syarikat hanya ditawarkan dan dijual kepada konsortium, syarikat dan individu Bumiputera.

Di samping itu, katanya pegangan dan pelupusan pemilikan syarikat Bumiputera akan dikawal selia oleh kementerian dan agensi berkaitan selaku pengawal selia sektor. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.