Kerajaan Sasar Basmi Kemiskinan Tegar Menjelang 2025

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Kerajaan menyasarkan untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025 dengan menumpukan kepada 2.9 juta isi rumah B40 dengan pendapatan bulanan di bawah RM4,850 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurut dokumen RMK12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, tumpuan akan diberi kepada daerah dan lokasi termiskin di bandar dan luar bandar bagi menangani isu kemiskinan dan membangunkan masyarakat inklusif.

Bagi tujuan itu, kerajaan menggariskan enam bidang keutamaan RMK12 termasuk Menangani Kemiskinan dan Mengurangkan Ketidaksamarataan daripada Perspektif Pelbagai Dimensi, Memperkasa B40 dan Mencapai Kesaksamaan Keberhasilan Bumiputera.

Tiga lagi hala tuju RMK12 dalam menangani kemiskinan dan membangunkan masyarakat inklufif ialah Memberi Sokongan kepada M40 bagi Mewujudkan Masyarakat Saksama, Meningkatkan Pembangunan Masyarakat Orang Asli dan Memperkasa Kumpulan Sasar Khusus.

Menurut dokumen itu, antara strategi di bawah Bidang Keutamaan Menangani Kemiskinan dan Ketidaksamarataan daripada Perspektif Pelbagai Dimensi adalah meningkatkan pendapatan isi rumah miskin dan memperbaiki kualiti hidup miskin bandar.

Menerusi strategi berkenaan, sejumlah 50,000 isi rumah miskin akan menerima manfaat dengan penerusan program bantuan rumah bertujuan membaik pulih rumah usang manakala tambahan 500,000 rumah mampu milik akan dibina untuk menyediakan rumah yang berkualiti dan selesa kepada kelompok itu.

Bagi pencapaian RMK11, negara mencatatkan peningkatan pendapatan purata bulanan isi rumah B40 daripada RM2,848 pada 2016 kepada RM3,152 pada 2019 bagaimanapun, Pekali Gini (statistik berangka bagi mengukur ketaksamaan pendapatan dalam masyarakat) keseluruhan meningkat kepada 0.407 berbanding 0.399 menunjukkan jurang ketidaksamarataan pendapatan yang melebar.

Menurut dokumen itu, Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) yang mengukur kemiskinan berdasarkan empat dimensi iaitu pendapatan, pendidikan, kesihatan dan taraf hidup bertambah baik daripada 0.015 pada 2016 kepada 0.011 pada 2019.

Selain itu, RMK12 turut meletakkan M40 sebagai satu daripada bidang keutamaan bagi mewujudkan masyarakat yang saksama dengan menggariskan empat strategi iaitu melonjakkan pendapatan, meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti dan mampu bayar, menggalakkan perlindungan kesihatan dan pekerjaan serta meningkatkan pemilikan rumah.

Dokumen itu menyatakan sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), usaha bersepadu akan dilaksanakan dalam menyokong komitmen menjadikan Malaysia negara maju dan makmur dengan pengagihan kekayaan adil dan saksama.

Menurut dokumen itu dalam menangani keperluan kumpulan sasar khusus, enam strategi turut dirangka melibatkan kanak-kanak, belia, wanita, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) dan keluarga. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.