Perak Tidak Akan Terburu-buru Buka Pulau Pangkor Kepada Umum

LUMUT, 26 Sept – Kerajaan Negeri Perak tidak akan terburu-buru dan masih meneliti pelbagai kemungkinan secara menyeluruh sebelum membuat keputusan membuka semula Pulau Pangkor kepada masyarakat umum khususnya pelancong.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata penanda aras utama sebelum pembukaan semula destinasi itu adalah berdasarkan kesan Gelembung Pelancongan yang dilaksanakan di Langkawi sejak 16 Sept lepas.

“Di Pangkor, kita perlu ambil kira (situasi) nelayan, penduduk setempat dan para peniaga juga. Kita tidak mahu ada jangkitan baharu yang menyebabkan bukan sahaja Pangkor tetapi seluruh negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat. Ini sesuatu yang malang.

“Jadi, kita perlu lihat dahulu program Gelembung Pelancongan dibuat percubaannya di Langkawi. Ia perlu masa selama dua minggu untuk melihat kesannya sejak dibuka pada 16 Sept lepas. Kalau tiada masalah maka sudah tentu kita akan membenarkan Pulau Pangkor kembali dibuka,” katanya pada sidang media di Dewan Amanjaya Fasa 3A hari ini selepas melawat kawasan yang terjejas akibat ribut di sekitar Manjung.

Pada 12 Sept lepas, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata Pulau Pangkor dijangka dibuka kepada pengunjung yang telah lengkap divaksin pada 1 Nov ini.

Beliau berkata bagaimanapun, pembukaan semula pusat peranginan itu masih tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara.

Saarani juga berkata pemantauan secara rapi oleh pihak berwajib perlu dilaksanakan di semua terminal atau jeti yang menjadi laluan keluar masuk pengunjung ke Pulau Pangkor.

“Kita jangan lupa, hendak masuk ke Pulau Pangkor tiada kemudahan kapal terbang seperti di Langkawi. Di sini kita hanya ada feri dan bot.

“Ini bermakna semua pengunjung perlu menunggu di jeti. Di situ orang akan berkumpul dan mungkin jadi sesak. Kalau tidak ditangani dengan betul, kesan (jangkitan) itu akan ada,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan membuka semula semua destinasi pelancongan di Perak jika pembukaan Pulau Pangkor tidak mendatangkan sebarang masalah yang membabitkan penularan COVID-19. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.