KPKT Rancang Bina 2 PPR Di Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM, 25 Sept – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang merancang pembinaan dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pulau Pinang sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kata Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Katanya, dari segi peratusan jumlah PPR, peratusan di Pulau Pinang amat rendah jika dibandingkan dengan negeri lain oleh itu, adalah wajar bagi pihak KPKT untuk membawa projek PPR ke Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM, 25 Sept — Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kanan) melihat kawasan persekitaran semasa melakukan lawatan kerja di Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini.

“Ia melibatkan satu (projek) di seberang dan satu lagi di pulau. Di seberang, kita dapati di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) belum ada projek PPR daripada KPKT.

“Selain itu, komitmen saya sempena RMK12 adalah untuk membawa banyak lagi projek perumahan mampu milik selain PPR,” katanya kepada wartawan selepas membuat lawatan ke Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hari ini.

Turut hadir Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo, Datuk Bandar MBSP Datuk Rozali Mohamud dan Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang.

Tambahnya, projek PPR yang terakhir oleh KPKT di Pulau Pinang adalah PPR Tok Suboh di Bukit Minyak, Simpang Ampat yang dilaksanakan secara sewa beli.

Reezal Merican berkata menurut kajian pendapatan, 45 peratus daripada golongan B40 di Pulau Pinang datang dari daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.

“Oleh itu, adalah wajar sebuah projek PPR dilaksanakan di kawasan tersebut manakala sebuah lagi di kawasan pulau. Kita akan umumkan lokasi projek ini nanti. Kerajaan negeri telah serahkan lima lokasi cadangan dan saya akan perhalusi dahulu selain akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata KPKT mengambil maklum cadangan yang dibangkitkan oleh Jagdeep mengenai isu pembangunan bandar baharu bagi memacu perancangan pembangunan semula setanding negara-negara maju dan sebagai tindak balas, pihaknya sedang merancang garis panduan bagi pelaksanaan pembangunan semula bandar.

Reezal Merican berkata terdapat keperluan untuk menetapkan garis panduan baharu dan pihaknya telah meminta satu libat urus dengan semua pihak berkepentingan untuk mula mencari pendekatan dan menggubal dasar baharu.

“Dasar ini telah digunakan di beberapa buah negara antaranya Hong Kong, Singapura dan Australia. Kita akan perhalusi model dasar yang dilakukan di negara tersebut,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.