Industri Acara Perniagaan Wajar Di Buka Segera Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata Industri acara perniagaan antara yang sedang tenat sejak tahun lalu dari terkesannya perintah kawalan pergerakan.

Sehubungan itu, beliau berharap agar penelitian bersama antara kerajaan dan pemain industri bidang acara adalah perlu sehingga industri ini dibuka segera sebelum terlambat.

“Dianggarkan kerugian sudah dianggarkan melebihi RM 4.05 bilion mengikut data daripada MyCEB. Pembukaan industri acara perlu dilihat sebagai acara perniagaan dan bukannya kategori sosial, perhimpunan orang ramai mahupun acara hiburan.

“Mustahil untuk pemain industri dapat bertahan jika tidak dibuka sekarang dengan pematuhan SOP yang sangat ketat. WTC KL yang kini berperanan sebagai Pusat Pemberian Vaksin Mega yang pertama di Malaysia telah berjaya memberi kepada penerima vaksin lebih dari 1.25 juta dos dengan jumlah kehadiran adakalanya mencecah sehingga 21,000 orang sehari jelas menunjukkan bagaimana industri acara perniagaan berteraskan kesihatan dan ekonomi boleh digerakkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini

Ujarnya, bagi WTC KL sendiri, semua kakitangan telah lengkap divaksin, dan syarikat tidak membuang pekerja biarpun terkesan teruk dengan masalah pandemik COVID 19 dan ekonomi.

“Seharusnya bidang acara perniagaan ini boleh dibuka dengan SOP yang sama, bukan sahaja di sini, malah bagi semua pemain industri acara. WTC KL berbesar hati melaksanakan percubaan bagi pembukaan industri ini mengikut fasa bermula Oktober ini dengan permulaan seramai 50% pengunjung jika kerajaan memberi peluang kepada WTC KL.

“Boleh dikatakan semua pemain industri acara perniagaan telah divaksin sebagai persediaan membolehkan kami beroperasi segera. Sekiranya industri ini dilihat dibenarkan beroperasi pada fasa keempat, ianya sudah terlambat kerana penderitaan rakyat bukan sahaja dari kerisauan COVID-19 malahan ekonomi rakyat.”

Dalam hal ini katanya, cadangan garis panduan seperti pematuhan SOP yang ketat, had kehadiran pengunjung bermula dengan 50%, kawalan jarak pergerakan, memastikan sistem ventilasi yang diperiksa secara berkala oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH), pengesanan kontak dan kebersihan persekitaran serta pengesahan pengunjung bebas jangkitan wajar diambil kira.

“Industri acara perniagaan ini adalah penyelamat dan kunci kepada negara bagi mengembalikan ekonomi Malaysia ke landasan yang betul. Ianya bukan acara sosial atau perhimpunan awam akan tetapi berteraskan acara perniagaan yang boleh meransang ekonomi dan imej Malaysia di seluruh dunia.

Persetujuan jenis dan kaedah acara-acara berteraskan perniagaan ini boleh diperhalusi sebaik mungkin oleh pihak kerajaan.

“Alangkah baiknya jika perkara ini menjadi agenda teratas dalam senarai pencapaian 100 hari Perdana Menteri kita dalam usaha pembukaan Industri acara perniagaan kerana bukan sahaja nyawa rakyat dapat diselamatkan malahan kesejahteraan hidup bersama dalam konteks Keluarga Malaysia dapat dikecapi serentak,” katanya lagi yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Konvensyen Dan Pameran, Asia Pasifik World Trade Centre Associations. – UMNO Online