Semua Pemimpin Perlu Ambil Kira Pelbagai Aspek Untuk Kepentingan Rakyat – Suraya

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Exco Kerajaan Negeri kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata pemimpin di barisan kerajaan waimma barisan pembangkang wajar meneliti dan mengambil kira dalam membina sebuah negeri yang maju, berdaya saing, berkat dan sejahtera secara bersama tanpa mengira warna bendera kepartian.

Menurut beliau dalam tempoh kritikal menangani krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda negara sekarang, ini adalah masa yang sesuai kepada semua pemimpin politik untuk menunjukkan semangat solidariti bersama-sama bermuafakat dengan berjiwa besar dan memastikan kebajikan serta hak rakyat terbela dan terjaga, melebihi kepentingan parti dan peribadi.

Pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14, hari ini beliau turut menyatakan beberapa perkara yang berkaitan tragedi banjir di Yan dan juga pembangunan bersepadu jaringan jalan raya serta titah Tuanku.

“Rentetan bencana banjir lumpur dan fenomena kepala air baru-baru ini telah mengakibatkan tebing sungai terhakis serta menyebabkan kelebaran sungai telah bertambah. Kelebaran sungai di Titi Hayun yang bertambah daripada 10 meter kepada 25 meter serta keadaan tapak semasa menjadikan faktor anggaran kos pembinaan ini agak tinggi. Pihak Ibu Pejabat JKR turut menjalankan lawatan tapak pada 27 Ogos 2021 ke tapak cadangan pembinaan dan semakan kos pembinaan dibuat berdasarkan kepada keadaan sebenar sungai dan kemusnahan di tapak yang memerlukan kerja-kerja tambahan seperti re-alignment jalan sedia ada.

“Pelaksanaan projek secara berfasa iaitu Pelan Pemulihan Fasa 1 akan bermula pada tahun 2021 sehingga tahun 2024 dan penyelesaian projek secara total solution dijangka disiapkan pada tahun 2026. Selepas kajian dan dapatan dibentangkan oleh pakar teknikal daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri dan pusat, semua input akan digunakan untuk membentuk sebuah Disaster Risk Management Plan atau Pelan Pengurusan Risiko Bencana Gunung Jerai.”

Jelasnya, ia akan dibentuk bagi melindungi 5,000 nyawa orang awam di sekitar kawasan Gunung Jerai serta melindungi kawasan seluas 600 hektar dari impak bencana banjir kepala air dari kembali berulang pada masa akan datang.

“Kelangsungan kepada pelaksanaan Gunung Jerai Disaster Risk Management Plan amat penting bagi menguruskan risiko dan pelaksanaan operasi bencana di kawasan sekitar Gunung Jerai secara efektif bagi memastikan keselamatan nyawa orang awam dan harta benda awam dapat diselamatkan,” katanya.

Berkaitan, pembangunan bersepadu jaringan jalan raya, Suraya yang juga ADUN Sungai Tiang seterusnya menjelaskan Kerajaan Negeri melalui JKR Negeri Kedah sedang melaksanakan beberapa projek menaik taraf infrastruktur jalan raya di Negeri Kedah yang bernilai sekitar RM511.8 juta dan selain daripada itu, pihak JKR Negeri Kedah juga sedang merancang untuk melaksanakan empat belas (14) projek infrastruktur jalan yang telah diluluskan dan secara keseluruhan, jumlah peruntukan bernilai sekitar RM1.03 billion.

“Di samping itu, bagi memastikan sokongan pembangunan ekonomi di koridor utara, pihak NCIA dengan kerjasama Kerajaan Negeri sedang merangka untuk melaksanakan Northern Coridor Highway (NCH) dengan Panjang jalan 331 kilometer melibatkan 28 susur keluar & masuk. Bagi aspek perancangan jalan yang komprehensif & holistik, pihak Kementerian Kerja Raya telah merintis – Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2030 atau Highway Network Development Plan 2030 ataupun singkatannya ‘HNDP 2030′.

“Pelan ini memformulasikan pelaksanaan pembangunan rangkaian jalan raya yang turut mengambilkira pembangunan yang sedang dibangunkan dan yang akan dirancang untuk dibangunkan bagi tempoh 2021 sehingga tahun 2030.

“Selain membawa limpahan pembangunan daripada zon industri dan pusat katalis ekonomi terus ke kampung dan desa, Objektif utama Pelan HNDP ialah untuk memastikan jalan-jalan baru yang dibina oleh pelbagai kementerian supaya saling melengkapi sesama sendiri, dan bertindak menghubungkan kampung dan desa kepada bandar-bandar besar, zon industri serta pusat katalis ekonomi di negeri Kedah,’ ujarnya. – UMNO Online

Berikut teks penuh ucapan penggulungan Datuk Suraya Yaacob

Ucapan Penggulungan Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku
Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14
Yang Behormat Datuk Speaker,
Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah,
Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, serta sidang hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Alhamdulilah bersyukur kita ke hadrat Allah swt di atas kesempatan yang dikurniakan dengan izinnya kepada kita untuk sama-sama berada di dalam dewan yang Mulia ini, setelah kali terakhir kita berada di dewan ini pada bulan November tahun 2020 yang lalu.
Yang Behormat Datuk Yang diPertua Dewan,

Terlebih dahulu saya ingin menjunjung kasih ke atas Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dalam perasmian istiadat pembukaan penggal ke-4 Dewan Undangan Negeri Kedah yang ke-14 tahun 2021.
Ampun Tuanku,
Ucapan penghargaan juga saya ucapkan kepada rakan Ahli – Ahli Yang Berhormat sekalian, khususnya kepada YB ahli Dewan yang telah mengambil bahagian di dalam sesi perbahasan Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.
Pada pandangan saya, pemimpin di barisan kerajaan waimma barisan pembangkang wajar meneliti dan mengambil kira dalam membina sebuah negeri yang maju, berdaya saing, berkat dan sejahtera secara bersama tanpa mengira warna bendera kepartian.

1. TRAGEDI BANJIR KEPALA AIR, YAN
Seperti yang kita sedia maklum, pada jam 3 petang 18 Ogos 2021 telah berlaku tragedi meruntun hati, kejadian hujan yang sangat lebat, banjir kilat berlumpur telah melanda daerah Yan dan daerah Kuala Muda.

Malang sekali dalam kejadian tersebut, aliran debris runtuhan tanah dari cerun Gunung Jerai telah mengorbankan 6 orang penduduk tempatan, inna lillahi wa inna ilaihi raajiuun. Infrastruktur seperti rumah penduduk, pejabat kerajaan, masjid, sekolah, jalan raya, jambatan, tiang elektrik, saluran paip air, sistem penapisan air tanah ringkas (SPATR), longkang saliran, pusat peranginan, chalet dan lain-lain harta awam dan harta persendirian habis musnah.
Rentetan itu, beberapa agensi kerajaan sedang melakukan kajian pemetaan bencana aliran debris awalan. Kaedah ini akan mengenalpasti kedudukan bahan geologi seperti batuan dasar yang kukuh dan koluvium di kawasan pinggiran tebing sungai laluan aliran debris. Maka, sebarang cadangan pembinaan struktur di atas kawasan ini perlulah merujuk kepada maklumat ini kerana pembinaan struktur yang besar di atas bahan koluvium akan memberi masalah kestabilan. Ini kerana bahan koluvium adalah longgar dan mudah terhakis. Maklumat ini akan membantu pihak Jabatan Pengairan dan Saliran dalam perancangannya untuk membina empangan Sabo.

Pembinaan Empangan Sabo bernilai RM20 juta bagi fasa satu di Gunung Jerai dekat sini bertujuan untuk memastikan pokok-pokok yang tumbang serta batu-batu besar tidak menghilir sekiranya aliran air deras berlaku. Berdasarkan kepada keadaan semasa di tapak, pihak NAHRIM telah mencadangkan pembinaan 2 empangan SABO dilaksanakan di 2 lokasi kritikal.
Selain itu, Pembangunan Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh dan Aliran Debris atau Kepala Air di kawasan strategik amat diperlukan dan dianggar bernilai sekitar RM700,000. Siasatan dan analisa di tapak sedang dijalankan untuk merekabentuk Sistem Amaran Awal Bencana Geologi dari segi pengenalpastian lokasi yang tepat untuk pemantauan tanah runtuh, pemasangan alatan teknologi terkini Real-time Rain Gauge.

Program ini dijangka akan mengurangkan risiko ancaman bencana geologi (Disaster Risk Reduction, DRR) dan juga memastikan ianya dapat diurus dengan baik (Disaster Risk Managment, DRM) pada masa akan datang.
Antara penyelesaian menyeluruh lain yang dicadangkan, meliputi kerja pembinaan floodwall, river protection, pembinaan 3 buah jambatan, pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (“TAPS”), pembinaan baharu bagi 1 pintu air dan menaiktaraf 6 pintu air yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM180 juta.
Bencana banjir lumpur dan fenomena kepala air ini telah mengakibatkan tebing sungai terhakis dan menyebabkan kelebaran sungai telah bertambah. Kelebaran sungai di Titi Hayun yang bertambah daripada 10 meter kepada 25 meter serta keadaan tapak semasa menjadikan faktor anggaran kos pembinaan ini agak tinggi.
Pihak Ibu Pejabat JKR turut menjalankan lawatan tapak pada 27 Ogos 2021 ke tapak cadangan pembinaan dan semakan kos pembinaan dibuat berdasarkan kepada keadaan sebenar sungai dan kemusnahan di tapak yang memerlukan kerja-kerja tambahan seperti re-alignment jalan sedia ada.
Pelaksanaan projek secara berfasa iaitu Pelan Pemulihan Fasa 1 akan bermula pada tahun 2021 sehingga tahun 2024 dan penyelesaian projek secara total solution dijangka disiapkan pada tahun 2026.

Selepas kajian dan dapatan dibentangkan oleh pakar teknikal daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri dan pusat, semua input akan digunakan untuk membentuk sebuah Disaster Risk Management Plan atau Pelan Pengurusan Risiko Bencana Gunung Jerai akan dibentuk bagi melindungi 5,000 nyawa orang awam di sekitar kawasan Gunung Jerai serta melindungi kawasan seluas 600 hektar dari impak bencana banjir kepala air dari kembali berulang pada masa akan datang.
Kelangsungan kepada pelaksanaan Gunung Jerai Disaster Risk Management Plan amat penting bagi menguruskan risiko dan pelaksanaan operasi bencana di kawasan sekitar Gunung Jerai secara efektif bagi memastikan keselamatan nyawa orang awam dan harta benda awam dapat diselamatkan.
Dari kesempatan ini, bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah, saya mengucapkan setinggi – tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jentera dari pelbagai agensi negeri & perseketuan seperti Jabatan Mineral & Galian (JMG), NAHRIM, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Hutan, Syarikat Air Darul Aman (SADA), Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Majlis Daerah Yan & Kuala Muda, NGO-NGO dan individu-individu yang bertungkus lumus sejak dari hari pertama membantu meringankan beban rakyat di sana.
Sekali lagi, setinggi – tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan. Budi baik kalian hanya Allah yang akan membalasnya.

2. TITAH TUANKU: RUMPUT PANJANG DI JALAN PERSEKUTUAN
Yang Berhormat Datuk Speaker,
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, telah bertitah bahawa rumput di sepanjang jalan, di bawah selenggaraan kerajaan pusat , supaya diselenggara dengan lebih kerap.
Duka cita ingin saya maklumkan bahawa, Skop selenggaraan yang bermula September 2020, telah dikurangkan daripada 12 kali setahun, kepada 9 pusingan setahun sebagaimana arahan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.
Walau bagaimana pun, pihak JKR Negeri Kedah telah memohon kepada pihak Kementerian Kerja Raya supaya mempertimbangkan semula skop pemotongan selenggaraan tersebut , dan mengembalikan kepada skop asal , iaitu 12 pusingan setahun supaya konsisten berada pada tahap terbaik selari dengan status Alor Setar sebagai sebuah bandaraya dan Ibu Negeri. Pun begitu, permohonan ini masih diperingkat pertimbangan Kementerian Kerja Raya.
Manakala bagi Jalan protokol, ianya masih kekal dengan skop selenggaraan sebulan sekali dan pihak JKR Negeri Kedah juga telah mengambil inisiatif dengan menambah pusingan pemotongan rumput bagi memastikan supaya rumput sentiasa terjaga dan kemas.

3. PEMBANGUNAN BERSEPADU JARINGAN JALANRAYA
Yang Behormat Datuk Yang diPertua Dewan,
Kerajaan Negeri melalui JKR Negeri Kedah sedang melaksanakan beberapa projek menaik taraf infrastruktur jalan raya di Negeri Kedah yang bernilai sekitar RM511.8 juta
Selain daripada itu, pihak JKR Negeri Kedah juga sedang merancang untuk melaksanakan empat belas (14) projek infrastruktur jalan yang telah diluluskan seperti berikut:
Secara keseluruhan, jumlah peruntukan bernilai sekitar RM1.03 billion

Di samping itu, bagi memastikan sokongan pembangunan ekonomi di koridor utara, pihak NCIA dengan kerjasama Kerajaan Negeri sedang merangka untuk melaksanakan Northern Coridor Highway (NCH) dengan Panjang jalan 331 kilometer melibatkan 28 susur keluar & masuk.
Bagi aspek perancangan jalan yang komprehensif & holistik, pihak Kementerian Kerja Raya telah merintis – Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2030 atau Highway Network Development Plan 2030 ataupun singkatannya “HNDP 2030”.
Pelan ini memformulasikan pelaksanaan pembangunan rangkaian jalan raya yang turut mengambilkira pembangunan yang sedang dibangunkan dan yang akan dirancang untuk dibangunkan bagi tempoh 2021 sehingga tahun 2030.

Selain membawa limpahan pembangunan daripada zon industri dan pusat katalis ekonomi terus ke kampung dan desa, Objektif utama Pelan HNDP ialah untuk memastikan jalan-jalan baru yang dibina oleh pelbagai kementerian supaya saling melengkapi sesama sendiri, dan bertindak menghubungkan kampung dan desa kepada bandar-bandar besar, zon industri serta pusat katalis ekonomi di negeri Kedah.

Ia akan mewujudkan rangkaian jalan raya yang menyokong pelan ekonomi negeri dan pembangunan wilayah di negeri Kedah.
Strategi utama Pelan HNDP secara khususnya di Negeri Kedah ialah dengan Memperkukuhkan jalan raya di Kedah yang sedia ada dengan Koridor Jalan Raya Pantai Barat , serta juga menghubungkan jalan raya sedia ada di Negeri Kedah dengan Koridor Lebuhraya Timur- Barat.
Paling penting, HNDP secara langsung menghubungkan Lingkaran perhubungan ke Konurbasi, zon promosi pembangunan dan pusat katalis ekonomi.

Seperti yang diketahui umum, Bandar merupakan enjin pertumbuhan ekonomi negara, di mana 75% daripada Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) bertumpu di bandar. Di Malaysia, sebahagian besar daripada pembangunan ekonomi adalah tertumpu di bandar-bandar yang terletak dalam Konurbasi Nasional, Konurbasi Utara, Konurbasi Selatan dan Konurbasi Timur. Potensi pembangunan bandar-bandar ini perlu dirancang sebaik mungkin bagi memastikan kawasan pekan kecil dan luar bandar supaya tidak ketinggalan, di samping mendapatkan faedah ekonomi yang optimum di antara bandar dan luar bandar, bandar sesama bandar dan sesama negeri.
Sebagai contoh dalam memperkukuhkan Koridor Lebuhraya Timur Barat, HNDP menggariskan projek pembesaran jalan yang menghubungkan Kg Perik dengan bandar Jitra, sepanjang 14 kilometer dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Pembesaran jalan yang menghubungkan Singkir Laut, Yan dengan bandar Butterworth yang berukuran sepanjang 18.9 kilometer di dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
Ia juga akan menghubungkan Kedah Special Border Economic Zone di Bukit Kayu Hitam di utara semenanjung dengan K12 Jalan Baharu KXP , K7 (NCH) Jalan Baharu Changkat Jering ke Kuala Ketil & K8 Jalan Baharu (NCH-P2B), Serdang.
Manakala bagi memastikan sokongan pembangunan ekonomi di koridor utara, pihak NCIA dengan kerjasama Kerajaan Negeri sedang merangka untuk melaksanakan Northern Coridor Highway (NCH) dengan Panjang jalan 331 kilometer melibatkan 28 susur keluar & masuk serta menghubungkan kawasan pekan-pekan kecil sebagai interchange seperti Bukit Bayu, Felda Gunung Bongsu & Serdang.

PENUTUP

YB Datuk Speaker,

Dalam tempoh kritikal kita menangani krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda negara sekarang, saya kira ini adalah masa yang sesuai kepada semua pemimpin politik untuk menunjukkan semangat solidariti bersama-sama bermuafakat dengan berjiwa besar dan memastikan kebajikan dan hak rakyat terbela dan terjaga, melebihi kepentingan parti dan peribadi.
Seperit-perit Kerajaan Negeri, perit lagi rakyat dibawah sana.
Justeru itu, menjunjung kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, saya memohon menyokong penuh usul Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalam mualaikum warahmatullah hi wabarakatuh.

YB. Dato’ Suraya binti Yaacob
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya
Pengerusi Jawatankuasa Bekalan Air & Sumber Air
Pengerusi Jawatankuasa Tenaga
ADUN Sungai Tiang – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.