Produk Halal Perkara Yang Cukup Sensitif, Perlu Langkah Bersepadu – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan produk halal merupakan satu perkara yang cukup sensitif sama ada produk halal berkenaan diimport daripada luar negara mahupun keluaran dalam negara ini sendiri.

Justeru menerusi sesi soal jawab lisan di Parlimen hari ini, beliau meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyatakan langkah-langkah mengatasi serta jumlah kes pelanggaran status makanan serta produk halal sama ada import daripada luar negara atau keluaran dalam negara dan menyatakan prosedur untuk mendapatkan sijil halal serta jawapan kepada tuduhan prosesnya mengambil masa yang lama.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid ketika menjawab soalan berkenaan menyatakan kementerian sentiasa bekerjasama dengan JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri dalam usaha menguatkuasa isu-isu yang berkaitan dengan halal yang mana berdasarkan perundangan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang terkandung di dalamnya iaitu takrif halal 2011 dan Perihal Dagangan Perakuan Halal 2011.

“Apa yang kita lakukan di bawah Akta-Akta ini ialah pemeriksaan penggunaan logo halal samaada ia tulen atau tidak dan berkaitan dengan produk halal itu sendiri yang mana sijil halal ini dikeluarkan oleh JAKIM. Kita Cuma menguatkuasakan penggunaan dan penandaan logo halal tersebut. Pemeriksaan secara berkala dengan JAKIM dengan mengadakan kesedaran halal kepada pengguna dan para pelajar di dalam program-program anjuran kementerian dan agensi-agensi lain.

“Turut diadakan pemeriksaan secara berkala di pusat-pusat penyembelihan, kilang memproses dan premis makanan. Berhubung nilai rampasan, setakat Ogos 2021 kita telah mengendalikan 228 kes dan nilai rampasannya RM 11.616,040 juta,” katanya pada sesi soal jawab lisan Parlimen, di sini, hari ini.

Sementara itu dalam soalam tambahan, Ahmad Maslan yang juga Setiausaha Agung UMNO turut membangkitkan mengenai kartel daging import tidak halal yang sebelum ini menggemparkan negara serta bertanya bagaimana KPDNHEP memantau prosuk halal lain seperti vaksin, ubat-ubatan dan sebagainya.

“Tindakan bersepadu saya kira bukan hanya KPDNHEP dan JAKIM tetapi ada lagi dua jabatan iaitu bahagian keselamatan dan kualiti makanan Kementerian Kesihatan dan satu lagi Jabatan Kuarantin Pemeriksaan Malaysia Kementerian Pertanian (MAQIS) dan setakat mana tindakan dibuat dengan jabatan berkenaan.

“Manakala lagi satu ialah… kita dihebohkan dengan kartel daging import tidak halal pakatan jahat 36 pengarah dan 19 syarikat pengimport… apa jadi dengan kartel itu dan bagaimana dengan produk lain seperti vaksin, ubat, barangan pembersihan, dandanan diri, alat solek, pakaian bagaimana KPDNHEP memantau produk-produk halal yang lain,” ujarnya.

Menjawab soalan berkenaan, Rosol memberitahu pihaknya sentiasa mempunyai kerjasama yang erat dengan apa yang disebutkan oleh Pontian.

“Apa yang diperkatakan oleh Pontian memang kita mempunyai hubungan yang rapat serta kerjasama yang erat antara Kementerian Kesihatan Malaysia, MAQIS, JAKIM dan semua agensi yang berkait dengan hal halal dan haram ini.

“Berkaitan kartel daging, sebenarnya kita telah mendakwa mereka ini pada Feb 2021 dan satu perbicaraan penuh akan diadakan pada 14,15 dan 16 Disember tahun ini. Lantaran itu kita menyeru kepada pengguna-pengguna di luar sana jika ada sesuatu yang meragukan boleh melaporkan kepada kita dan akan melakukan tindakan yang serius kerana hal yang berkaitan dengan pemakanan ini suatu yang kita tidak dapat kompromi,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.