Kerajaan Perak Tunggu Kelulusan Projek Jaringan Paip Gas Asli Bernilai RM105 Juta

IPOH, 22 Sept – Kerajaan Negeri Perak bersama Gas Malaysia Berhad sedang mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga bagi pelaksanaan projek pembinaan jaringan paip gas asli dari Kampung Kuala Bikam, Bidor ke Proton City, Tanjung Malim yang bernilai RM105 juta.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata projek pembinaan sejauh 62 kilometer (km) itu mampu memperkukuhkan pertumbuhan industri automotif di Tanjung Malim dan memberi pelbagai manfaat kepada sekurang-kurangnya lapan kawasan industri di sekitarnya selain berpotensi menarik pelaburan baharu.

“Gas Malaysia Berhad dengan kerjasama Invest Perak, pihak berkuasa tempatan serta Pejabat Daerah dan Tanah juga sedang mengenal pasti jenis-jenis kluster industri di kawasan berkenaan yang berpotensi sebagai prospek pengguna masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya dilaksanakan kelak, ia akan memperkukuhkan jaringan paip gas asli di negeri Perak yang kini sudah mempunyai lima jaringan gas asli iaitu di Parit Buntar sejauh 8 km, Taiping (46 km), Sitiawan (38 km), Teluk Intan (27 km) dan Lembah Kinta (140 km).

Sementara itu, Saarani berkata mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini turut bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan jualan Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar, Teluk Intan secara tender terbuka bagi menjalankan kajian terperinci berkaitan tapak berkenaan.

“Kerajaan negeri juga menangguhkan pelaksanaan setelah mengambil kira dan menghormati pandangan orang ramai,” katanya.

Saarani menjelaskan jualan secara tender itu dilakukan selepas cadangan pembatalan tanah rizab istana seluas 2.092 hektar itu diluluskan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri pada Julai 2020 sebelum diwartakan pada Mac lepas.

Bagaimanapun katanya, tiada bantahan awam diterima ketika tempoh bantahan dibenarkan semasa siasatan bantahan cadangan itu diadakan pada 21 Jan lepas menyebabkan Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak meneruskan pelaksanaan jualan secara tender.

“Ekoran itu, Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak membuka tender terbuka bagi pemilikan tanah kerajaan melalui penentuan kadar minimum secara tender bagi lot berkenaan untuk tujuan komersial dan pembangunan bercampur mulai 15 Sept hingga 6 Okt,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saarani meminta rakyat Perak berusia 18 tahun ke atas yang belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 supaya segera berbuat demikian secara jumpa terus di 22 pusat pemberian vaksin (PPV) yang hanya akan dibuka hingga 31 Okt ini.

Katanya, seramai 1.55 juta atau 83.57 peratus penduduk negeri Perak berusia 18 tahun ke atas sudah menerima dos pertama vaksin manakala 1.15 juta iaitu 61.94 peratus sudah lengkap menerima dos kedua setakat Isnin lepas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.