Ayuh Terus Amalkan SOP Walaupun Banyak Kelonggaran Kerajaan Beri – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua untuk terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) walaupun banyak kelonggaran yang telah diberikan oleh kerajaan kerana jangkitan COVID-19 masih berlaku dalam komuniti.

Ujarnya, andai “total lockdown” bermula Januari lalu dilaksana mungkin jangkitan COVID-19 ketika ini adalah terkawal dan mungkin rakyat ketika ini sedang selesa menikmati kelonggaran dengan kadar jangkitan yang rendah.

“Tapi apakan daya nasi sudah jadi bubur, maka ayuh semua terus amalkan SOP walaupun banyak kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan.

“Fasa 2, Fasa 3, Fasa 4 namun ingat jangkitan COVID-19 masih berada dalam komuniti kita.

“Kita masih terdedah kepada jangkitan. Virus ini masih aktif dalam persekitaran kita. Kerajaan minta kita hidup bersama Covid-19 tidak bermakna kita perlu merelakan jangkitan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian berikutan ramai bertanya mengapa tiada lagi desakan kuat supaya ‘total lockdown’ dilaksanakan.

“Kita desak kerajaan lama buat ‘total lockdown’ ketika rakyat masih ada kemampuan untuk menempuhinya iaitu sewaktu kes harian jangkitan COVID-19 di Malaysia baru mencecah empat angka awal tahun ini.

“Pada waktu negara masih ada kemampuan untuk memberi bantuan secukupnya kepada rakyat, kita desak kerajaan lama buat ‘total lockdown’ sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula.

“Iaitu sebelum kes harian jangkitan COVID-19 mencecah lima angka pada pertengahan Julai lalu.”

Jelasnya, dengan situasi terkini kerajaan baharu kelihatan keberatan melaksanakannya walau kes masih tinggi.

“Mungkin atas faktor rakyat sudah dalam keadaan tidak mampu mengharunginya. Ekonomi rakyat semakin parah dan tahap kesihatan mental sebilangan rakyat kian merungsingkan kerana terlalu lama berkurung.

“Jika ‘total lockdown’ sekarang mungkin bagi kerajaan baharu keadaan rakyat akan bertambah teruk,” katanya lagi.

Dilaporkan, semalam kes baharu COVID-19 yang dilaporkan ialah 15,759 kes melibatkan 288 kes atau 1.8 peratus adalah dalam kategori tiga, empat dan lima, manakala 15,471 kes atau 98.2 peratus lagi terdiri daripada kategori satu dan dua, yakni melibatkan pesakit tidak bergejala atau bergejala ringan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.