Australia Perlu Mendekati Brunei Berkenaan AUKUS – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Selain mendekati Malaysia bagi kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS), Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyarankan Australia untuk menyantuni Brunei yang merupakan pengerusi ASEAN.

Menerusi panggilan telefon dengan rakan sejawat dari Australia, Peter Dutton, dua hari lalu, Hishammuddin berkata adalah penting untuk Australia turut mendekati negara-negara CLMV (Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam) serta negara yang dekat dengan China bagi mendapatkan pandangan mereka.

Selain itu, ia bagi membolehkan pengumuman AUKUS bukan merupakan sesuatu yang boleh membimbangkan dan menjejaskan kedudukan rantau ini dalam konteks pertahanan.

“Kekuatan kita masih lagi bukan secara persendirian, kekuatan kita adalah 10 negara ASEAN ini bersatu untuk melihat kedudukan dan keselamatan rantau ini dapat dipertahankan.

“Saya juga bercadang untuk mengadakan lawatan singkat ke China dalam masa terdekat dan satu perkara yang kita perlu dapatkan (adalah) pandangan kepimpinan khususnya pertahanan China serta pendapat mereka terhadap AUKUS, dan tindakan susulan daripada apa yang telah diumumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini yang membangkitkan sama ada Malaysia akan dilibatkan dalam AUKUS.

Malaysia sebelum ini menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama AUKUS yang bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan pada 18 Sept berkata pada masa sama langkah itu dilihat akan memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutama di Laut China Selatan.

Hishammuddin berkata sekiranya pendekatan diplomasi tidak digunakan bagi mendekati kuasa-kuasa besar, sebarang perkara yang tidak diingini boleh mencetuskan situasi yang boleh menjejaskan rantau ini.

Sementara itu, beliau berkata untuk mengimbangi dua kuasa besar dalam konteks AUKUS serta hubungan Malaysia dengan Aturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) merupakan perkara yang diberi perhatian.

“Ini penting kerana FPDA akan meraikan ulang tahun ke-50 kewujudan FPDA, dan apa yang kita bina sejak 50 tahun dulu dengan Austalia, New Zealand dan Singapura boleh digunakan sebagai kekuatan kita untuk mengimbangi kuasa-kuasa besar,” katanya.

Mengenai keselamatan ruang udara negara, Hishammuddin berkata perkara itu sentiasa dipantau oleh sistem radar pertahanan udara jarak jauh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). – BERNAMA