Laksanakan Lima Resolusi Gig-Ekonomi, Jadikan Malaysia Revolusi Perlindungan Pekerja – Mohd Fadzil

ALOR SETAR, 21 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah menyokong langkah Pemuda UMNO Malaysia yang memperjuangkan nasib pemandu p-hailing dan e-hailing yang selama ini tidak wujud kepedulian mana-mana pihak mahupun usaha bagi melindungi hak-hak mereka.

Ketuanya, Mohd Fadzil Zolkifli berkata, lima resolusi yang dibawa Pemuda UMNO Malaysia itu adalah perintis bagi kerajaan merevolusikan pembaharuan sektor pekerjaan negara dan boleh menjadi panduan kepada negara lain yang menghadapi situasi sama.

“Kami sangat menyokong lima resolusi yang diperjuangkan Pemuda UMNO Malaysia bagi menjaga kebajikan, keselamatn dan keadilan 700,000 pekerja gig ekonomi berkenaan, yang rata-ratanya golongan muda lepasan sekolah, lepasan universiti mahupun golongan yang hilang pekerjaan akibat COVID-19.

“Dalam konteks negeri Kedah pula, spektrum sektoral pekerja gig ekonomi ini mencambah dengan drastik terutamanya di bandar bandar besar seperti Alor Setar, Jitra, Sungai Petani dan Kulim,”

“Diharap kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menjadikan golongan pekerja itu inklusif dalam meremajakan ‘Keluarga Malaysia’ serta memberi kedudukan lebih baik kepada golongan muda yang memerlukan pekerjaan supaya nanti mereka tidak lagi berkata ‘sekurang-kurangnya kami ada kerja’ tetapi dengan bangga berkata ‘kami mempunyai pekerjaan yang hebat’,”

Justeru tegasnya, langkah Pemuda UMNO amat tepat dan kena pada masanya ketika ramai yang terlibat dalam industri berkenaan mengharapkan mereka mendapat hak samarata seperti golongan pekerja sektor yang lain dan mereka juga mahu dilindungi mengikut akta pekerjaan yang sedia ada.

“Ia akan mewujudkan ‘job security’, status pekerjaan yang jelas, sistem yang teratur dan masa depan yang cerah,” katanya menerusi kenyataan media berkaitan hal terbabit, hari ini.

Ujar Mohd Fadzil, bukan sedikit yang terkorban dan cedera semasa bekerja tetapi malangnya mereka tidak mendapat perlindungan insurans mahupun perlindungan Perkeso, malah jauh sekali mempunyai KWSP.

“Keadilan buat mereka sudah lama tertunggak, sekarang adalah masa terbaik kerajaan menerajui usaha menjadikan pekerja gig-ekonomi sebagai golongan pekerja yang diktiraf.

“Malaysia juga boleh menjadi contoh kepada negara lain bagaimana sepatutnya pekerja sektor itu dilayan dengan lebih perikemanusian. Di negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam pekerja sektor itu juga sedang berjuang bagi mendapat pengiktirafan dan perlindungan sebagai pekerja,” katanya lagi.

Dilaporkan, semalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menganjurkan Persidangan Meja Bulat Tuntutan Hak Penghantar Malaysia dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Persatuan Penghantar dan wakil-wakil Kesatuan P-Hailing dan E-Hailing bagi membincangkan permasalahan serta isu-isu berbangkit melibatkan penggiat ekonomi gig di dalam negara.

Hasilnya, lima Resolusi dikemukakan dan dimaktubkan seperti berikut:

a) Mencadangkan status individu terbabit dalam industri e-hailing dan p-hailing diiktiraf sebagai pekerja dan dilindungi oleh Akta Kerja 1955 dan akta-akta berkaitan.

b) Mewujudkan sebuah badan kawal selia yang mengkaji keperluan peraturan (regulations) yang lebih adil dan realistik untuk penyedia perkhidmatan dan penghantar.

c) Memastikan kaedah terbaik untuk penyedia perkhidmatan menyediakan perlindungan sosial (KWSP & PERKESO) buat penghantar-penghantar di Malaysia.

d) Mencadangkan kerajaan memberikan dan menyediakan bantuan khas kepada penghantar-penghantar di dalam Bajet 2022 nanti.

e) Mendesak penyedia perkhidmatan untuk menjamin pekerjaan penghantar-penghantar dengan menangguhkan penggantungan dan penamatan khidmat penghantar-penghantar dalam tempoh pandemik ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.