Penerimaan Orang Ramai Terhadap Program Vaksinasi Bukti Berita Palsu Tidak Berkesan

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Penerimaan dan kesedaran orang ramai terhadap program vaksinasi di negara ini menjadi bukti berita palsu mengenai vaksin COVID-19 tidak berkesan dalam mempengaruhi masyarakat.
ANNUAR MUSA
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata ia juga ditambah dengan pelbagai langkah yang diambil kementerian dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membendung, mencegah dan menguatkuasakan undang-undang bagi mengatasi masalah penularan berita palsu.

Beliau berkata PDRM membuka 307 kertas siasatan penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19 sejak Mac 2020 hingga September ini dengan antaranya 163 kes telah diselesaikan dan 37 kes dituduh di mahkamah.

“Kalau dilihat pada angka-angka itu menunjukkan kes telah banyak diselesaikan, namun tidak dinafikan masih ada (penularan berita palsu) tetapi secara keseluruhannya, penularan berita negatif tentang vaksinasi telah banyak berkurangan dan kita ucap terima kasih kepada (kesedaran) masyarakat, dan ini juga menjadi punca kepada kejayaan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) mengenai masih terdapat pihak yang terpengaruh dengan berita palsu sehingga enggan mengambil vaksin COVID-19 pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan asal Azizah mengenai langkah proaktif yang diambil kementerian untuk membendung penyalahgunaan media sosial terutama berkaitan vaksin COVID-19, Annuar berkata Pasukan Respons Pantas mengeluarkan 479 penafian terhadap berita palsu melibatkan 416 penafian pada tahun lepas dan 63 pada tahun ini.

Beliau berkata pasukan itu dianggotai pegawai berkemahiran daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya KKMM juga menjalankan program pendidikan dan kesedaran secara berterusan sebagai strategi membendung penyebaran berita palsu selain mendidik masyarakat.

“Pihak kementerian melalui MCMC telah melancarkan kempen Tidak Pasti Jangan Kongsi dan Klik Dengan Bijak yang mendapat sambutan agak baik dan turut dijayakan oleh agensi berita yang lain termasuk RTM, Bernama dan juga Jabatan Penerangan yang turut disertai media elektronik serta media cetak lain,” katanya.

Annuar berkata kementerian melalui MCMC juga mengadakan program advokasi dengan penglibatan masyarakat seperti Malaysia ICT Volunteer (MIV) dengan 83 program dilaksanakan pada 2020 dan 25 program sehingga September tahun ini.

“Sementara itu, kerjasama rapat dan berterusan dengan pihak penyedia perkhidmatan media sosial seperti Twitter, Facebook dan Google sedang diperkemaskan untuk mempertingkatkan peranan sedemikian,” katanya.

Selain itu, Portal Sebenarnya.my, sebagai satu sumber untuk mendapatkan berita lebih tepat mendapat 186 juta layaran dengan 9.83 juta hits sepanjang 2020 hingga Julai lalu, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.