Cadangan Naikkan Had Hutang Negara: Bawah Kerajaan Lama Tak Boleh… Kini Boleh – Najib

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Dahulu semasa di bawah kerajaan lama tidak boleh, kini boleh, ujar bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berkata cadangan kerajaan untuk meningkatkan had siling Kumpulan Wang COVID-19 daripada RM65 bilion ketika ini kepada RM110 bilion serta had statutori hutang negara adalah bertujuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan apabila ekonomi negara dibuka semula sepenuhnya.

Untuk rekod, sebelum ini Tengku Zafrul merupakan Menteri Kewangan di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini juga, Najib pernah mencadangkan agar kerajaan menaikkan hutang negara ke paras 65 peratus bagi membantu rakyat bagi mendepani pandemik COVID-19.

Seterusnya ujar Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu, dengan langkah tersebut, sekitar RM50 bilion perbelanjaan terus kerajaan dapat dibebaskan untuk diagihkan kepada rakyat dan perniagaan yang terjejas.

“Sebenarnya langkah untuk naikkan had untuk pinjam lagi ini boleh dielakkan tetapi ‘lockdown’ separuh masak yang berpanjangan mengakibatkan sasaran pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) dalam bajet 2021 dipotong separuh dari 7% ke 3.5% manakala defist bajet terpaksa dinaikkan dua kali.

“Tapi itu sudah berlaku. Menjadi sejarah kegagalan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Apa yang paling penting sekarang tegasnya ialah bantu rakyat serta perniagaan supaya ekonomi boleh bergerak dan memulih secepat mungkin.

“Lepas pulih, baru fokus untuk turunkan semula nisbah hutang ke paras ke paras 48% seperti sebelum PRU14 (Pilihan Raya Umum 14),” katanya.

Pagi tadi, Bernama melaporkan Tengku Zafrul di dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM berkata peningkatan had siling dan had statutori hutang negara yang baharu itu akan dibuat sejurus menerima kelulusan Parlimen.

“Dengan kelulusan jemaah menteri kita tingkatkan (had siling) Kumpulan Wang COVID-19 daripada siling perbelanjaan RM65 billion kepada RM110 billion manakala had statutori hutang negara akan dinaikkan daripada 60 peratus daripada KDNK kepada 65 peratus,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.