MEDAC Akan Tubuh Jawatankuasa Khas Bantu Usahawan Terjejas Akibat COVID-19

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menteri, Tan Sri Noh Omar berkata kementerian itu akan memastikan semua bantuan dan peruntukan diselaraskan melalui jawatankuasa khas tersebut.

“Jawatankuasa tersebut akan diketuai oleh ketua setiausaha kementerian dan akan bekerjasama dengan persatuan-persatuan. Saya tengok semua bidang keusahawanan telah ada persatuan-persatuan dan saya akan berjumpa dengan semua.
Noh Omar
“Kita akan bekerjasama dengan mereka supaya bantuan yang diberikan oleh kerajaan akan sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (UMNO-Lenggong) mengenai usaha kementerian itu dalam memastikan bantuan kerajaan dapat sampai kepada kumpulan sasaran yang terjejas akibat pandemik.

Ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) mengenai usaha kerajaan untuk membantu PKS, Noh berkata pihaknya turut menumpukan golongan yang diberhentikan kerja serta lepasan pengajian tinggi yang ingin menjadi usahawan.

“Pejabat maya juga akan diperkenalkan kerana kita tahu banyak yang sudah tutup pejabat dan ingin memulakan kembali perniagaan tetapi tidak mampu. Ini mungkin meringankan beban mereka.

“Kita juga akan memberi tumpuan kepada pemasaran secara digital,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memperuntukkan RM324.3 juta bagi membantu usahawan yang terjejas akibat pandemik.

Beliau berkata sehingga kini, MARA telah meluluskan pembiayaan perniagaan berjumlah RM311.36 juta kepada 2,966 usahawan menerusi tiga skim iaitu Skim Pembiayaan Pengukuhan Perniagaan, Skim Pembiayaan Mudah Jaya dan Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro.

Selain itu, di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi, MARA juga memperkenalkan inisiatif penangguhan (moratorium) atau penjadualan semula bayaran balik pembiayaan perniagaan MARA, katanya.

“Inisiatif ini bertujuan membantu usahawan MARA dengan memberi penangguhan bayaran balik pinjaman MARA selama tiga bulan selepas kelulusan diberikan atau penjadualan semula bayaran balik pembiayaan perniagaan MARA dengan memanjangkan tempoh pembiayaan sehingga 36 bulan,” katanya.

Setakat 31 Julai, 2021 sebanyak 7,562 usahawan telah memohon dan ia membawa implikasi kewangan berjumlah RM25.74 juta. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.