Gabung RUU Anti-Lompat Parti Dan Pemecatan Ahli Parlimen, Wujudkan Parlimen Lebih Wibawa – Azalina

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said berharap kerajaan dapat menggabungkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 yang dibawa beliau dengan RUU Anti-Lompat Parti yang sedang diusahakan oleh kerajaan ketika ini.

Katanya ini kerana kedua-duanya RUU tersebut saling berkait rapat antara satu sama lain malah ianya juga bagi memakmurkan institusi Parlimen pada masa akan datang.

Azalina Othman Said“Saya minta tolong kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Undang-undang, Datuk Seri Dr Wan Junaidu Tuanku Jaafar yang baharu untuk berikan laluan fast track kepada RUU yang saya bawakan ini.

“Dibawakan, didebat dan diambil alih oleh kerajaan sebagai asas kepada Akta Anti-Lompat Parti Dan Pemecatan Ahli Parlimen 2021 digabungkan untuk mewujudkan Parlimen yang lebih berwibawa,” katanya ketika perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, RUU Anti-Lompat Parti itu juga merupakan transformasi pentadbiran malah ianya perlu dan seharusnya dilakukan secepat mungkin.

Katanya lagi, melalui RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021 ini juga akan mewujudkan satu mekanisme pemecatan lebih terbuka dan diberikan kuasa kepada rakyat untuk menentukan status ahli Parlimen yang melompat parti.

“Sama ada hendak ganti atau tidak yang lompat itu sebab kita mesti menerima bahawa tak semestinya yang lompat itu kerana dia nak lompat.

“Sebab kadang-kadang dia dipaksa lompat kerana dia telah dipecat. Jadi cadangan saya dengan RUU ini macam orang bercerai, ada masa iddah tiga bulan.

“Kena tenang dan fikir sama ada hendak cerai atau hendak sambung. Jadi apa yang saya cadangkan di sini RUU Pemecatan Ahli Parlimen biarlah referendum dibuat oleh rakyat untuk tentukan wakil rakyat yang lompat itu diganti atau tidak,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.