Cadang Skim i-Survive Untuk B40 Dan M40, Cukai Kepada Gergasi Teknologi – Najib Razak

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan beberapa cadangan kepada kerajaan ke arah pemulihan ekonomi negara.

Antara yang digariskan Perdana Menteri Keenam itu adalah mewujudkan aliran tunai dalam ekonomi termasuk ialah cadangan i-Survive.

“Mengambil kira kenyataan dari kerajaan bahawa kita tidak ada banyak duit lagi untuk membantu rakyat, saya cadang skim i-Survive iaitu skim pinjaman mudah dengan caj perkhidmatan sebenar paling rendah sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 setiap pemohon.

“Sesiapa dari golongan B40, M40 boleh memohon kepada bank dan akan diluluskan secara automatik untuk dibayar terus ke dalam akaun pemohon dua hingga tiga hari kemudian.

“Pinjaman ini disediakan oleh pihak bank tetapi dengan jaminan penuh kerajaan. Caj perkhidmatan sebenar paling maksimum adalah 3 peratus atau pun bersamaan dengan RM90.00 setahun bagi pinjaman RM3,000.00 dengan tempoh bayaran balik selama tiga tahun,” katanya ketika perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu lagi, kaedah ini tidak memberi impak kepada hutang langsung negara kerana ia merupakan jaminan kerajaan kepada bank.

Seterusnya bekas Perdana Menteri itu juga juga mencadangkan agar kerajaan menuntut perkongsian hasil untung yang diperolehi industri perkhidmatan atas talian dari syarikat-syarikat gergasi antarabangsa seperti Amazon, Netflix, Youtube, Google dan Facebook.

“Selama ini mereka mengaut keuntungan tetapi tidak pernah dicukai oleh negara.

“Ini juga bukan perkara baru kerana negara lain seperti Australia dan Indonesia pernah menuntut dan dibayar oleh syarikat-syarikat tersebut,” katanya.

Beliau juga turut mengambil memberikan contoh agar kerajaan boleh mendapatkan pendapatan dengan menjual sebahagian saham dalam syarikat Digital Nasional Berhad yang sedang membina infrastruktur 5G di negara ini.

“Penjualan ini boleh dibuat kepada syarikat-syarikat telco tempatan untuk menjana pendapatan negara serta mengurangkan beban perbelanjaan bagi projek yang bernilai RM15 bilion ini,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.