RUU Yang Lulus Perlu Segera Dilaksana… Jangan Guna Alasan Politik Untuk Tangguh – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa Rang Undang-undang (RUU) yang telah diluluskan di Parlimen perlu segera dilaksanakan.

Ini kerana katanya, jika ia ditangguh dengan apa-apa juga alasan adalah sesuatu yang tidak baik untuk demokrasi pentadbiran negara kerana ia telah dibahas dan diluluskan di Parlimen.

“RUU yang telah dilulus jangan ditangguh, jangan digunakan alasan-alasan politik untuk tangguh. Tahun 2019 dilulus tapi sampai sekarang tak dilaksanakan lagi sedangkan ia telah dilulus dan menjadi satu akta tetapi sehingga kini masih lagi tidak dilaksanakan.

“Ini adalah sesuatu yang tidak baik untuk demokrasi bagi negara kita,” katanya yang merujuk kepada daftar pemilih secara automatik dan Undi 18.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian dalam ‘Sesi Terus Terang’ yang disiarkan menerusi laman facebook UMNO-Online, hari ini.

Jelasnya, berdasarkan pelaksanaan, undi 18 sepatutnya telah dibuat tahun lalu.

“kalau tidak undi 18 telah tahun lepas dilaksana tapi ditangguh, ditangguh, ditangguh… maka jangan gunakan alasan-alasan politik untuk menangguh hal-hal ini.

“Begitu juga dengan pemilih daftar secara automatik yang masih belum dilaksana sedangkan ada 5.6 juta belum mendaftar sebagai pengundi. 1.2 juta daripadanya adalah berumur 18-21 tahun dan 4.4 juta adalah mereka yang berusia 21 tahun ke atas,” katanya.

Terdahulu beliau telah mengemukakan 20 cadangan untuk transformasi Parlimen, dan mengesahkan dirinya antara calon dari pihak kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Ahmad turut menyarankan setiap Ahli Parlimen penyokong kerajaan dan pembangkang disediakan seorang pegawai penyelidik bagi membantu membuat kajian dasar, ucapan, soalan dan berkaitan tugasan di Dewan Rakyat selain usul yang bakal dibentangkan diberikan lebih awal kepada mereka.

Selain itu, katanya, Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat perlu dikemas kini agar lebih sesuai, terkini dan relevan dengan kehendak semasa.

“Parlimen perlu terlibat dengan aktif dalam memberi pendidikan demokrasi kepada seberapa ramai rakyat melalui seminar, wacana, pameran, dialog, lawatan dan libat urus,” katanya.

Beliau turut mencadangkan hari terbuka kementerian diadakan secara berkala di Parlimen untuk wakil rakyat menemui menteri, timbalan, ketua setiausaha dan ketua pengarah secara terus serta menambah sesi kamar khas.

Katanya, latihan pendedahan media sosial perlu diberikan kepada Ahli Parlimen dan kakitangan Ahli Parlimen, selain latihan komunikasi, pengurusan serta ilmu terkini yang relevan dari semasa ke semasa.

“Menambah bilangan Jawatankuasa Pilihan Khas yang meliputi pendidikan, agama, sosial, pekerjaan, perumahan, indeks gaji, gejala sosial, bisnes online, kesihatan, ekonomi, kewangan, pembangunan tanah, pelaburan, alam sekitar, mencari pendapatan baharu kerajaan dan lain-lain yang sesuai.

“Menyokong cadangan kerajaan untuk transformasi Parlimen sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri serta mencadangkan setiap Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang diberikan peruntukan khas untuk sesi libat urus dengan rakyat dan pemegang taruh di kawasan bagi mendapatkan pandangan bagi isu pembangunan, kebajikan rakyat dan RUU baharu.”

Saranan lain adalah Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas diberi elaun hadir mesyuarat atau elaun khas dengan jumlah kecil, tetapi munasabah dengan kekerapan mesyuarat yang sesuai, selain sesi dialog dengan rangkaian media arus perdana diadakan secara berkala melibatkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengenai isu semasa.

Selain itu, katanya, adab dan tatasusila tinggi perlu diletakkan dalam perbahasan agar imej Parlimen dihormati bagi mengelakkan Parlimen dianggap “sarkas ahli politik” dan menghidupkan kembali Akta Perkhidmatan Parlimen supaya Parlimen mempunyai autonomi dari segi peruntukan, tanggungjawab, kebajikan kakitangan dan perjawatan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.