COVID: 200 Petugas Barisan Hadapan Dari Negeri Lain Akan Digerakkan Bantu P.Pinang

GEORGE TOWN, 11 Sept – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggerakkan 200 petugas barisan hadapan dari negeri-negeri lain untuk membantu Pulau Pinang berikutan kes COVID-19 yang semakin merisaukan disebabkan jumlah jangkitan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata petugas barisan hadapan itu termasuk pegawai perubatan, pembantu perubatan dan jururawat.

“Kita berharap penghantaran petugas barisan hadapan itu dapat disegerakan untuk membantu Pulau Pinang dalam saat genting ini,” katanya selepas mesyuarat bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di sini hari ini.

Selain itu katanya antara langkah awal yang diambil adalah meluluskan 10 katil unit rawatan rapi (ICU) tambahan di Hospital Kepala Batas dan menimbangkan untuk membina satu hospital medan di lapangan berhampiran dengan Hospital Pulau Pinang.

Bagi membantu petugas barisan hadapan di hospital awam, Khairy berkata beliau telah dimaklumkan hospital-hospital swasta akan meningkatkan kapasiti penerimaan pesakit khususnya pesakit COVID-19.

Khairy berkata beliau telah mendapat persetujuan hospital-hospital swasta yang akan menambah 300 katil namun pihaknya ingin meminta supaya dapat ditambah sebanyak 1,000 katil untuk pesakit COVID-19.

“Sebab sekarang ini, kapasiti katil untuk pesakit COVID-19 di hospital swasta adalah 87 peratus manakala penggunaan ICU adalah 117 peratus…jadi kita akan minta mereka mengguna kapasiti yang sedia ada untuk menambah lagi kapasiti mereka boleh ambil (pesakit COVID-19).

“KKM mampu untuk mengambil alih hospital swasta sekiranya mereka masih tidak bersedia untuk menyediakan lebih kapasiti apabila diperlukan tetapi saya tak nak sampai tahap kita terpaksa mengambil alih hospital-hospital ini, kita masih berbincang dengan mereka bagi memastikan mereka dapat menyediakan kapasiti kerana terdapat pesakit-pesakit yang mampu bayar untuk dapat perubatan hospital swasta,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata KKM sedang dalam perancangan untuk memberikan oksimeter kepada semua khususnya golongan muda yang kebanyakannya di kategori tiga dan kategori lima yang berisiko tinggi.

Beliau berkata jumlah kes melibatkan golongan muda yang berkait dengan kes hipoksia iaitu komplikasi kandungan oksigen rendah semakin meningkat dan merupakan pembunuh senyap.

“Antara usaha yang kita akan tingkatkan adalah pemberian alat pengesan oksigen dalam darah kepada mereka yang berisiko tinggi di mana signal awal hipoksia adalah deyutan nadi tinggi. Saya juga minta dengan segera supaya kita dapat melaksanakan pengiraan bajet untuk kita mengadakan satu sumbangan oksimeter kepada keluarga yang memerlukannya,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.