Agensi KKMM Perlu Siap Siaga Perkenal Dasar Menuju Fasa Endemik COVID-19

CYBERJAYA, 7 Sept – Agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) perlu bersiap siaga memperkenalkan dasar dan program yang bersesuaian dengan perkembangan negara menuju fasa endemik COVID-19, kata Menterinya Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata warga kementerian perlu menerima hakikat bahawa COVID-19 akan sentiasa ada dalam kehidupan seharian dan pengurusan semasa endemik sudah tentunya berbeza.

“Kerajaan kita ini haruslah menjadi sebuah kerajaan yang dapat memenuhi aspirasi rakyat kerana kita ada dalam satu keadaan yang cukup mencabar. Kita terkongkong dalam suasana pandemik terlalu lama, (dan) telah menjejaskan kehidupan rakyat di semua peringkat.

“Kembalikan keceriaan rakyat Malaysia, kembalikan harapan dan keyakinan diri. Kita mesti bangunkan Malaysia sebagai sebuah negara penuh berkeyakinan untuk kita bergerak dan maju ke hadapan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin, Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek, Pengerusi MDEC Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Arif dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz.

Annuar dalam masa yang sama menaruh keyakinan kesemua 11 agensi di bawah KKMM akan menjadi agensi berprestasi tinggi dalam memenuhi aspirasi rakyat setelah mengikuti taklimat daripada kepimpinan agensi terbabit.

Beliau berkata penambahbaikan akan terus dibuat dari semasa ke semasa selaras dengan amanat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menekankan soal pencapaian di setiap kementerian dan agensi kerajaan.

“Kerajaan yang berprestasi adalah kunci kepada segala-galanya. Kita tak mahu kerajaan tidak stabil, tak mahu hilang punca ataupun kerajaan yang terikat dalam kepompong masalah tidak berkesudahan,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata beliau ambil maklum tentang cadangan daripada Persatuan Animasi Malaysia (Animas) yang menyarankan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengkaji semula sistem perolehan dan terma dalam kontrak agar jumlah jam yang diperuntukkan untuk program animasi ditambah.

Katanya beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha KKMM mengenainya dan mengenal pasti beberapa aspek yang boleh ditambah baik.

“Tapi saya nak lakukannya secara teratur. Bukan saja soal ruang untuk memberi peluang kepada filem animasi mendapat tempat dan ditayangkan dalam saluran-saluran televisyen kita, tetapi saya juga nak melihat secara keseluruhan.

“Sebab itu kalau boleh berikan saya sedikit masa kerana saya belum lagi sampai peringkat berpeluang dapat libat sama dengan pemain industri khususnya dalam bidang penyiaran,” katanya.

Presiden Animas Amir Hamzah dilaporkan berkata pembekal kandungan animasi tempatan menghadapi kesukaran untuk membawa produk ciptaan ke luar negara kerana sukar memenuhi syarat yang ditetapkan pengedar antarabangsa yang mahu filem animasi mesti ditayangkan di negara sendiri terlebih dahulu, sama ada di stesen televisyen atau pawagam.

Amir berkata syarat itu sukar dipatuhi berikutan dasar stesen penyiaran dan slot animasi di televisyen yang sangat terhad. – BERNAMA