Penetapan Harga Runcit Maksimum Kit Ujian Kendiri COVID-19 Ambil Kira Keperluan Rakyat – Khairy

PUTRAJAYA, 3 Sept — Keputusan kerajaan menetapkan harga runcit maksimum kit ujian kendiri COVID-19 berkuat kuasa Ahad ini dibuat selepas mengambil kira keperluan rakyat, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata penangguhan penguatkuasaan harga siling bagi memberi ruang kepada pembekal untuk menghabiskan stok sedia akan memberi kesan kepada rakyat.

“Kami kena seimbangkan antara pembekal dan rakyat. Kalau nak bagi sebulan lagi (kepada pembekal) untuk menghabiskan stok, yang terkesan adalah rakyat, mereka (rakyat) perlu membayar harga tinggi untuk sebulan lagi, jadi kita harus buat keputusan yang memihak kepada pengguna (rakyat),” katanya kepada pemberita dalam satu temu bual khas di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.

Beliau mengulas permohonan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) bagi penetapan harga runcit maksimum bagi set kit ujian kendiri COVID-19 yang akan berkuat kuasa Ahad ini, dilanjutkan ke suatu tempoh.

Menurut persatuan itu penguakuasaan itu yang disifatkan agak “mengejut” menyebabkan farmasi sukar menghabiskan stok sedia ada pada harga semasa.

Semalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90, manakala harga borong ditetapkan RM16 berkuat kuasa Ahad ini.

Sementara itu, mengulas laporan mengenai puluhan mayat warga asing yang meninggal du¬nia akibat COVID-19 masih belum dituntut kedutaan masing-masing dan “terbiar” di beberapa hospital kerajaan, Khairy berkata KKM akan bekerjasama dengan kedutaan terbabit untuk proses pengkebumian mayat berkenaan.

“Kita akan cuba hubungi waris dan usahakan proses penghantaran mayat atau kita kebumikan di sini. Kita bekerjasama dengan kedutaan dalam hal ini,” katanya.

Terdahulu, satu portal berita melaporkan di Hospital Serdang sahaja terdapat kira-kira 20 mayat war¬ga asing ditempatkan dalam bilik mayat kerana urusan mendapatkan kebenaran daripada pihak kedutaan masih tergendala.

Laporan itu turut menyebut masalah yang sama dipercayai turut berlaku di beberapa hospital lain di Lembah Klang.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.