50 Peratus Golongan Dewasa Di Johor Dijangka Lengkap Vaksinasi Dalam Masa Terdekat

JOHOR BAHRU, 2 Sept – Sebanyak 50 peratus penduduk dewasa di Johor dijangka menerima vaksinasi lengkap dalam masa terdekat.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata Johor bakal menerima sebanyak 1.9 juta dos vaksin pada bulan September ini, sekali gus membolehkan negeri ini beralih kepada fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Jadi dengan itu (bekalan), kita menjangkakan dalam masa sehari dua ini, kita (Johor) akan mencapai 50 peratus penerima vaksin lengkap dengan lebih 77 peratus telahpun mendapat vaksin dos pertama,” katanya kepada pemberita di Jabatan Pendidikan Negeri Johor, di sini hari ini.

Dengan 1.9 juta dos vaksin itu juga, beliau turut menjangkakan Johor boleh mencapai kadar vaksinasi 100 peratus untuk dos pertama pada hujung September, sekali gus membolehkan kesemua golongan dewasa Johor yang berdaftar menerima dos kedua pada bulan Oktober.

Menurut Hasni kerajaan negeri itu kini sedang mempertingkatkan usaha vaksinasi meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk terdapat penduduk yang lambat mendapat makluman vaksinasi mereka daripada MySejahtera.

“Jadi kita gunakan pelbagai kaedah sama ada dalam bentuk walk-in (jumpa terus) bagi pusat pemberian vaksin (PPV) yang mempunyai vaksin yang banyak selain mempertingkatkan outreach (khidmat masyarakat) iaitu menggunakan PPV mudah alih sebagai langkah bagi mempercepatkan pemberian vaksin ini,” kata Hasni.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada penerimaan 1.9 juta dos vaksin berkenaan akan dapat membantu daerah-daerah yang mengalami kesukaran kerana kekurangan bekalan vaksin.
Berhubung isu segelintir guru-guru di Johor menolak untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, Menteri Besar itu berkata perkara itu telah dijelaskan dengan sebaiknya dan bagi yang belum bersedia, mereka mempunyai sebab munasabah.

“Saya menyokong penuh saranan Kementerian Kesihatan yang mana individu belum bersedia terima vaksin perlu banyakkan jalankan ujian sama ada secara ujian swab atau ujian saliva (air liur).

Langkah ini bukan hanya untuk guru-guru (yang menolak vaksin) sahaja tetapi juga mana-mana pihak yang belum bersedia terima vaksin, mereka digalakkan melakukan ujian dengan lebih kerap,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.