Hutan Simpan Kuala Langat Utara: Langkah Drastik Perlu Jika Kerajaan Negeri Masih Berkeras – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 1 Sept. – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menyarankan agar suatu langkah akhir dan drastik dibuat oleh Kerajaan Persekutuan berikutan isu membabitkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) ekoran keputusan kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang telah bersetuju menyahwartakannya.

Katanya, Kerajaan Persekutuan boleh mempertimbang menggunakan peruntukan Perkara 83 Perlembagaan Persekutuan untuk mengambil hak milik kawasan yang telah dinyahwarta – iaitu daripada milik Kerajaan negeri ke Kerajaan pusat, sebelum negeri melaksana pindahmilik ke mana-mana syarikat atau entiti.

“Saya sedar, cadangan ini bersifat agresif dan sewajarnya menjadi langkah terakhir andaikata segala desakan masih gagal.

“Sepatutnya bukan menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memperbetul kegagalan dan kerakusan Kerajaan negeri. Tetapi HSKLU merupakan aset amat berharga atas kedua-dua faktor warisan dan masa hadapan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Tegas Shahril, jika Menteri Besar dan Exco tidak mematuhi keputusan ADUN dalam Dewan, mahupun pandangan rakyat menerusi pendengaran awam, apatah lagi keluhan di media sosial, maka sesuatu yang tegas harus dilakukan untuk menyelamatkan situasi.

“Kerana nampak gayanya, bising macam mana pun, MB dan Exconya masih nak teruskan…,” katanya.

Berikut ialah kenyataan beliau berkaitan isu terbabit:

Hari ini (semalam) sempat meluangkan sebahagian dari Hari Kebangsaan di Kampung Orang Asli Busut Baru bersebelahan Hutan Simpan Utara Kuala Langat (HSKLU).

Setiap seorang yang saya berjumpa melahirkan rasa kecewa dengan perkembangan mutakhir.

Semalam kita dikejutkan dengan berita bahawa secara senyap-senyap, Kerajaan Negeri telah menyahwartakan 536.70 Hektar daripada keseluruhan HSKLU iaitu lebih separuh dari kawasan gazet sebelum ini.

Keputusan ini amat tidak masuk akal kerana:

– HSKLU merupakan kawasan paya gambut, tanah adat orang temuan, dan juga habitat untuk spesies terancam yang berusia 8,000 tahun.
– Usul (diluluskan) di DUN Selangor pada November 2020 untuk menolak penyahwartaan dan apa-apa bentuk pembangunan HSUKL
– Pendengaran awam yang diadakan pada September 2020 juga mendapat bantahan dari ramai pihak.
– Ini tidak termasuk puluhan ribu mesej bantahan dan petisyen menolak perkara sama
– Orang asli suku Temuan telah menduduki sekitar HSKLU sejak abad ke 19 sehingga hari ini lebih 2,000 orang.
– Tiga minggu lepas, laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memberi isyarat jelas bahawa krisis iklim sudah sampai ke ambang kritikal dan dalam jangka hayat kita dan anak kita, pelbagai musibah dijangka berlaku jika langkah-langkah drastik tidak dilaksana segera. Paya gambut merupakan antara takungan semulajadi karbon.

Pemusnahan HSKLU demi keuntungan dan pembangunan yang tidak diperlukan pun, adalah satu langkah tidak masuk akal.
Natijahnya,
Ikut sains, penyahwartaan tak masuk akal.
Ikut demokrasi di DUN sendiri, penyahwartaan tak masuk akal.
Ikut suara rakyat di luar DUN, penyahwartaan tak masuk akal.
Ikut hak orang asli, penyahwartaan tak masuk akal.

Jadi adakah ini masuk akal dek kerana wang Ringgit semata-mata? Adakah tindakan melanggar segala suara dan bantahan disebabkan rizab Kerajaan Negeri semakin berkurang setiap tahun daripada RM3.2 bilion pada tahun 2016, jatuh ke RM2.1 bilion pada tahun 2019?

Apapun sebabnya, Kerajaan Selangor dibawah pimpinan YAB Dato’ Seri Amirudin Shari wajar membatalkan penyahwartaan segera.

Kita tunggu penjelasan, tetapi saya tidak dapat bayangkan apa penjelasan yang boleh menjustifikasi penyahwartaan.

Sebagai suatu langkah akhir dan drastik, Kerajaan Persekutuan boleh mempertimbang menggunakan peruntukan Perkara 83 Perlembagaan Persekutuan untuk mengambil hak milik kawasan yang telah dinyahwarta – iaitu daripada milik Kerajaan negeri ke Kerajaan pusat, sebelum negeri melaksana pindahmilik ke mana-mana syarikat atau entiti.

Saya sedar, cadangan ini bersifat agresif dan sewajarnya menjadi langkah terakhir andaikata segala desakan masih gagal.

Sepatutnya bukan menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memperbetul kegagalan dan kerakusan Kerajaan negeri. Tetapi HSKLU merupakan aset amat berharga atas kedua-dua faktor warisan dan masa hadapan.

Jika Menteri Besar dan Exco tidak mematuhi keputusan ADUN dalam Dewan, mahupun pandangan rakyat menerusi pendengaran awam, apatah lagi keluhan di media sosial, maka sesuatu yang tegas harus dilakukan untuk menyelamatkan situasi. Kerana nampak gayanya, bising macam mana pun, MB dan Exconya masih nak teruskan…. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.