Sebanyak RM26.3 JUTA Premium Dikutip Kerajaan Perak Hingga 31 Julai – MB
IPOH, 30 Ogos – Sebanyak RM26.3 juta premium dikutip kerajaan negeri sejak 1 Jan sehingga 31 Julai lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak diberitahu hari ini.
Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata perolehan ini adalah 41.33 peratus daripada sasaran asal iaitu kira-kira RM63.6 juta dan ini berlaku ekoran kesan daripada pandemik COVID-19 yang melanda dunia sekarang.
Saarani (BN-Kota Tampan) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Chenderiang) yang ingin tahu jumlah kutipan premium dan pertimbangan ke atas permohonan pengurangan premium yang dikemukakan pemaju hartanah di Perak pada ketika ini.
Mengulas lanjut, Saarani berkata sebarang polisi kerajaan negeri untuk mengurangkan bayaran kadar premium memerlukan penelitian dan kajian yang mendalam sebelum dapat dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak kerajaan dan pemaju.
Selain itu, jelasnya, kerajaan negeri juga telah melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera Fasa 1 (1 Jun-31 Ogos) dan Fasa 2 (1 Sept-31 Dis) meliputi pelbagai faedah seperti pelanjutan pengecualian denda lewat cukai tanah bagi semua hak milik, selain pemberian diskaun untuk bayaran tunggakan cukai tanah secara sekali gus.
“Saya menyeru syarikat-syarikat besar dan semua yang terlibat mengambil peluang menerima tawaran dalam pakej tersebut dan melunaskan bayaran dalam tempoh yang ditetapkan. Semoga dengan insentif ini ia dapat menambah pungutan hasil kerajaan dan pihak pemaju dapat meneruskan projek mereka,” katanya. – BERNAMA