PUMAS Aplikasi Pidato Online Sebagai Persediaan UMNO Laksana Pembaharuan – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menekankan bahawa sebagai sebuah parti politik, UMNO perlu bersiap siaga untuk mendepani hakikat pembaharuan termasuklah mengaplikasikan online dalam gerak kerja dan perancangan sebagaimana pertandingan Pidato Online Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS).

Ujarnya, walaupun pada peringkat permulaan pertandingan tersebut dilaksanakan, keadaan politik negara berada dalam keadaan tegang namun ia tetap diteruskan sebagai antara persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

“Kita berjumpa hari ini dalam kedaan politik negara membuka satu episod baru setelah beberapa minggu dan hari-hari tertentu kita berdepan kemelut, namun pada penghujung kemelut itu, kita telah mendapat Perdana Menteri (PM) baharu dari UMNO.

“Pada mula program ini dilaksanakan kita tak tahu penghujung kemelutnya bagaimana. Kemelut politik pada waktu itu memuncak, namun kita perlu teruskan kerja dan bersedia untuk PRU-15.

“Kita berpegang dalam prinsip walau apapun keadaan atau walaupun sekarang parti kita menjadi PM namun kita masih perlu berdepan dan bersedia untuk PRU,” katanya.

Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berkata demikian dalam ucapan secara maya sempena Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Pidato Online peringkat Negeri Sabah, hari ini. Program yang dilaksanakan secara maya dan disiarkan secara langsung melalui laman facebook UMNO-Online telah disempurnakan Ketua UMNO Sabah merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ujar Shahril, pandemik COVID-19 memberikan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dan dalam keadaan ini, Penerangan UMNO Malaysia juga mestilah menghadapi keadaan dalam norma baharu.

“Dalam persiapan ini kita tak boleh lari dari kemungkinan bahawa COVID-19 masih wujud walaupun vaksinasi dipertingkat malah kita lihat data-data di negara lain juga COVID-19 dengan varian baharu masih tetap ada.

“Jadi kemungkinan pihak bertanggungjwab adakan sekatan untuk kempen-kempen tertentu pada PRU-15 yang barangkali tidak ada sesi ceramah secara terbuka, kempen merayu undi atau hanya tertumpu kepada online dan bilik gerakan semata-mata, maka kita perlu bersedia untuk kempen secara digital. Inilah tercetusnya pidato secara maya ini.”

Ujar Shahril, apabila datang sahaja musim untuk PRU nanti maka tentu akan ada minat khalayak untuk mengikuti sesi ceramah dari UMNO.

“Oleh itu kita perlu bersedia secara digital. Walaupun kaedahnya secara tradisional iaitu secara ceramah atau pidato namun pelaksanaannya perlu diaplikasi.”

Namun begitu katanya, berdasarkan pelaksanaan pertandingan yang dibuat, beberapa perkara telah dikenalpasti dan boleh ditambahbaik.

“Pengajaran dari pengalaman pelaksanaan pertandingan pidato ini, kita perlu fikirkan bagaimana untuk hadapi masalah teknikal selain cara penyampaian pemidato yang tentunya berbeza kerana secara online tidak dapat menyerap semangat khalayak tetapi penyesuaian mereka dalam berdepan cara terbabit amat penting.

“Selain itu, hujah atau kandungan dan pengisian dalam berpidato boleh diperkemaskan iaitu memahami apa sebenarnya yang dibawa kepada khalayak.”

Dalam masa yang sama, Shahril merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuklah penerangan UMNO negeri-negeri kerana begitu komited dan terlibat dalam pertandingan pidato walaupun dibuat secara online.

“Memang kita mahu mencari juara tapi hasrat untuk juara utama adalah bagaimana kita mahukan bakat baharu pemidato atau penceramah yang bermula di peringkat bahagian dan bahagian-bahagian sendiri bersedia untuk berdepan PRU,” katanya lagi.

Pertandingan Pidato Online ini diadakan secara berperingkat dengan fasa peringkat negeri bermula 8 Ogos sehingga 31 Ogos 2021. Ia terbuka kepada ahli UMNO berusia 18 tahun ke atas, dengan dua wakil setiap bahagian UMNO dan diuruskan oleh Penerangan UMNO Negeri masing-masing. Tiga pemenang peringkat negeri akan bertanding di peringkat kebangsaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.