COVID: Perak Umum Pakej Rangsangan Ekonomi Tambahan Bernilai RM34 Juta

IPOH, 30 Ogos – Kerajaan Negeri Perak hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) tambahan berjumlah RM34 juta sebagai inisiatif bagi membantu dan meringankan beban rakyat dalam mendepani pandemik COVID-19.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata ini adalah pakej tambahan selepas pelaksanaan dua PRE terdahulu yang membabitkan implikasi kewangan lebih RM200 juta.

“Kerajaan negeri sangat memahami kesusahan rakyat akibat pandemik COVID-19 dan atas kesedaran ini, kita melaksanakan dua PRE sejak tahun lepas membabitkan implikasi kewangan sebanyak lebih RM200 juta.

“Menyedari situasi pandemik yang masih mencengkam kehidupan segenap lapisan rakyat dan keperluan untuk memulihkan semula ekonomi rakyat, saya dengan sukacita mengumumkan inisiatif tambahan yang membabitkan RM34 juta,” katanya ketika menggulung perbahasan titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Mengulas lanjut, Saarani berkata antara inisiatif itu ialah berkaitan insentif cukai tanah mulai 1 Sept hingga 31 Dis tahun ini yang bernilai RM30.9 juta dan bantuan sekali beri kepada 4,000 mahasiswa anak Perak berjumlah RM400,000.

Beliau berkata bantuan kepada mahasiswa dipecahkan kepada dua kategori iaitu 2,000 penerima bagi bantuan kewangan umum secara sekali beri sebanyak RM150 seorang dan pengenalan insentif baharu melibatkan baucar tebus tiket pengangkutan awam sebanyak RM50 kepada 2,000 penerima.

“Bantuan ini secara tidak langsung akan dapat membantu kira-kira 4,000 mahasiswa anak Perak daripada keluarga B40 dan M40 yang memenuhi prasyarat ditetapkan untuk persediaan kemasukan Oktober 2021,” katanya.
PRE itu turut membabitkan bantuan tambahan kepada Maahad Tahfiz berjumlah RM3.5 juta seperti bantuan pengurusan sama rata sebanyak RM10,000 yang membabitkan peruntukan RM1.44 juta untuk 144 Maahad Tahfiz.

Katanya selain itu, bantuan tambahan pengurusan berasaskan bilangan pelajar dengan kadar per kapita RM200 seorang melibatkan 5,291 pelajar membabitkan peruntukan RM1,058,200 dan bantuan sekali beri RM1,000 untuk guru membabitkan peruntukan RM819,000 bagi 819 orang.

Saarani turut menarik perhatian bahawa peruntukan ini adalah sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap rintihan tular di media sosial mengenai nasib Maahad Tahfiz yang dilapor berdepan masalah kewangan akibat pandemik COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.