Perak Peruntukkan Lebih RM200 Juta Bagi Dua Pakej Rangsangan Ekonomi – MB

IPOH, 27 Ogos – Kerajaan Negeri Perak telah memperuntukkan lebih RM200 juta membabitkan dua Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) demi meringankan beban rakyat terjejas selain memulihkan semula kegiatan ekonomi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata ini merangkumi pelbagai inisiatif dan bantuan iaitu masing-masing sebanyak RM130 juta bagi PRE 2020 dan RM70.2 juta bagi PRE 2021.

“Walaupun kedua-dua pakej rangsangan ini memerlukan peruntukan kewangan besar namun kerajaan negeri yakin ia perlu dilaksanakan. Ini kerana keadaan yang begitu kritikal dan mendesak ketika rakyat sedang mengharungi situasi ekonomi yang amat sukar dan mencabar,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Saarani (BN-Kota Tampan) menjawab soalan lisan Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan) yang bertanyakan mengenai langkah kerajaan negeri membantu masyarakat terjejas akibat COVID-19.

Mengulas selanjutnya, Saarani berkata, kerajaan negeri memperincikan bentuk bantuan khusus mengikut tujuh sektor bagi memastikan segenap lapisan rakyat terjejas mendapat manfaat PRE 2021.

Ini termasuk kebajikan awam dan kesihatan dengan dana sebanyak RM40 juta yang merangkumi lebih 30 inisiatif, kata beliau.

“Selain itu, penjaja, peniaga kecil dan usahawan iaitu antara golongan paling terjejas, mendapat manfaat melalui peruntukan sebanyak RM14.8 juta manakala sektor pendidikan menyaksikan sejumlah RM8.7 juta telah disalurkan.

“Sektor pelancongan melibatkan peruntukan sebanyak RM2.8 juta merangkumi 16 inisiatif seperti bantuan khas sekali gus kepada penggiat-penggiat industri. Sektor pertanian menerima dana RM1.3 juta bagi penyediaan bantuan untuk petani, penternak dan nelayan melalui pemberian pelbagai bantuan input ladang dan ternakan,” jelasnya.

Menurut Saarani, Insentif Cukai turut disediakan dengan implikasi kewangan sebanyak RM2.4 juta dan perincian insentif baharu berkaitan cukai tanah yang akan berkuatkuasa pada 1 Sept, 2021, akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, moratorium bayaran balik pinjaman juga disediakan yang merangkumi pinjaman perumahan bagi manfaat lebih 1,500 peminjam, pinjaman mikrokredit dan tabung usahawan melibatkan lebih 700 peminjam dan pinjaman pengajian tinggi yang memberi manfaat untuk peminjam dalam kalangan anak-anak Perak.

Selain itu, Saarani berkata kerajaan negeri akan mengambil inisiatif mengadakan rundingan dengan pemain industri bagi mengenal pasti potensi berkaitan.

Malah, katanya, usaha itu juga dapat menarik pelabur untuk membangunkan semula operasi industri serta industri baharu termasuk di Koridor Utara dan Selatan yang berpotensi tinggi berikutan lokasinya di sempadan negeri.

“Insya Allah kerajaan negeri akan sentiasa mengadakan rundingan dan mengenal pasti potensi supaya industri, termasuk industri baharu dapat dibangunkan dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat terjejas akibat PKP,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.