Jadual Ketibaan Vaksin Faktor Kelewatan Rakyat Perak Terima Suntikan

IPOH, 26 Ogos – Ketibaan bekalan vaksin COVID-19 yang tidak mengikut jadual, merupakan antara faktor yang menyebabkan kelewatan pemberian vaksin kepada rakyat negeri Perak.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata jadual ketibaan vaksin perlu diselaraskan, bagi membolehkan setiap pusat pemberian vaksin (PPV) menjalankan fungsi seperti dijadualkan sebelum ini.

“Istilah tidak cukup vaksin itu tidak tepat kerana Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, janji mahu bagi kepada kita pada Julai sebanyak 688,000. Yang sampai kepada kita adalah 820,000. Maknanya lebih dari dijanjikan, cuma jadual ketibaan sahaja mungkin tidak seperti sepatutnya.

“Contoh pada Ogos janjikan kita dapat sejuta vaksin, insya-Allah dapat, cuma jadual itu tidak seperti mana kita harap, ia pun tertakhluk kepada jadual ketibaan vaksin daripada pembekal luar negara,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) di sini hari ini.

Saarani (BN-Kota Tampan) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Yahaya Mat Nor (Amanah-Pasir Panjang), yang ingin tahu sekiranya kerajaan dapat mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat Perak, berikutan kelewatan penerimaan vaksin kepada yang telah berdaftar melalui MySejahtera.

Beliau berkata, bagi mempercepatkan proses vaksinasi kepada kawasan berkepadatan tinggi, PPV Awam sedia ada telah dinaik taraf kepada kapasiti harian yang lebih tinggi, di samping pelaksanaan kaedah pemberian vaksin secara pandu lalu dan program jangkauan komuniti PPV Bergerak.

Menurutnya, terdapat 22 PPV Awam, enam PPV Pandu Lalu, 14 kumpulan PPV Bergerak, lapan PPV Khas, sebuah PPV Integrasi (awam dan swasta), sebuah PPV badan bukan kerajaan (NGO), sebuah PPV Institut Pengajian Tinggi, 15 PPV Hospital Swasta, 150 PPV Pengamal Perubatan dan 8 PPV Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), dengan kapasiti suntikan harian antara 40,000 hingga 45,000 sehari.

“Rekod menunjukkan pencapaian tertinggi pemberian vaksin di Negeri Perak adalah sebanyak 39,998 pada 25 Ogos lepas. Bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Negeri Perak, kerajaan negeri sedang membuat penilaian terhadap cadangan mewujudkan 12 lagi PPV baharu dan menaik taraf tiga PPV sedia ada,” katanya.

Jelasnya, bagi kawasan pendalaman pula, pemberian vaksin telah dilakukan secara jangkauan komuniti dengan sasaran komuniti atau penduduk di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), serta kawasan komuniti Orang Asli yang dijalankan oleh pasukan PPV bergerak, melibatkan kakitangan Jabatan Kesihatan dengan bantuan jabatan-jabatan lain.

Beliau menarik perhatian, Perak dijangka akan mencapai imuniti kelompok 80 peratus selewat-lewatnya pada Oktober ini, dan selesai keseluruhan vaksinasi pada November tertakluk kepada bekalan vaksin.

Berdasarkan data PICK Negeri Perak, sehingga Selasa lepas, seramai 1,118,358 orang iaitu 60.04 peratus telah menerima dos pertama, manakala 797,317 orang iaitu 42.81 peratus telah lengkap menerima dos kedua. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.