Nilai Eksport Pahang Naik 13.5 Peratus Kepada RM28.8 Bilion – MB

KUANTAN, 25 Ogos – Pahang mencatatkan nilai eksport berjumlah RM28.8 bilion pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak RM3.4 bilion atau 13.5 peratus berbanding RM25.4 bilion pada tahun sebelumnya, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurutnya, antara komponen utama yang menyumbang terhadap prestasi tersebut ialah barangan berasaskan besi dan keluli bernilai RM10.5 bilion, oleokimia berasaskan kelapa sawit (RM1.9 bilion), barangan elektrik dan elektronik (RM863 juta) serta keluaran petroleum bertapis (RM571 juta).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lee Ah Wong (BN-Cheka) mengenai nilai perdagangan Pahang bagi 2020 pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini, hari ini.

Selain itu, Wan Rosdy turut memaklumkan mengenai kelewatan melibatkan pelaksanaan projek mengatasi masalah air keruh bernilai RM18 juta merangkumi tiga loji rawatan air (LRA) di Raub di Sungai Bilut, Sungai Semantan dan Sungai Klau.

“Kelewatan ini mungkin disebabkan oleh pandemik COVID-19 kerana ada masanya kita tidak mempunyai barangan untuk melaksanakan kerja tersebut,” katanya ketika menjawab pertanyaan Chow Yu Hui (DAP-Tras) mengenai status pelaksanaan projek tersebut.

Menurut Wan Rosdy, ini melibatkan LRA Sungai Bilut yang lewat tiga peratus dan LRA Sungai Klau dengan kelewatan 4.42 peratus manakala kerja di LRA Sungai Semantan sebaliknya berjalan mengikut jadual.

Semua projek tersebut dijangka siap pada Februari dan April 2022, kata beliau. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.