Sidang DUN Perak Tetap Diteruskan Meskipun Seorang ADUN Belum Divaksin

IPOH, 19 Ogos – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang bermula pada 25 Ogos ini akan tetap diteruskan, meskipun seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) belum divaksin, kata Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad.

Beliau berkata, ADUN tersebut akan ditempatkan di sebuah bilik khas yang diwartakan untuk mana-mana wakil rakyat bagi mengikuti persidangan tersebut, sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Ada seorang ADUN yang belum divaksin. Kita ambil langkah sebaiknya termasuk penggunaan bilik khas. Dia belum lagi beri jawapan kenapa belum divaksin. Tetapi sidang DUN tetap diteruskan kerana ada beberapa bilik yang diwartakan untuk ADUN, untuk mengikuti persidangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media maya selepas majlis penyerahan dan Notis 5A melibatkan 26 Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan 12 Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB) di seluruh negeri Perak.

Saarani ditanya mengenai desas desus mengenai seorang ADUN yang masih belum lagi divaksin.

Ditanya mengenai identiti lebih lanjut mengenai ADUN tersebut, Saarani yang juga ADUN Kota Tampan itu berkata, maklumat tersebut akan dimaklumkan dan dikongsikan kelak.

Pada Disember lepas, Kerajaan negeri Perak dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS, di mana Saarani ketika ini memiliki sokongan 34 ADUN dengan BN mempunyai 25 kerusi diikuti Bersatu sebanyak enam kerusi dan PAS tiga kerusi.

DUN Perak mengandungi 59 ahli keseluruhan dan memerlukan 30 kerusi untuk majoriti mudah.

Sebelum ini dilaporkan, konsep Gelembung Persidangan Dewan Negeri akan diguna pakai dalam persidangan DUN Perak, yang bermula pada 25 Ogos ini.

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pelaksanaan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa penularan pandemik COVID-19 di negeri ini, serta khidmat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Menurutnya, konsep gelembung itu merangkumi empat elemen utama iaitu penyediaan kemudahan penginapan, pengangkutan, pertambahan ruang persidangan dan keperluan ujian pengesanan harian, bagi mereka yang terlibat dengan persidangan.

Bagi meminimakan pergerakan, semua individu yang terlibat dalam gelembung persidangan ini akan disediakan kemudahan pengangkutan dan penginapan di Hotel Impiana, Ipoh dan penggunaan kenderaan sendiri atau e-hailing adalah dilarang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.