Geram, Sedih Dan Marahkan Rakyat Kerana Kegagalan Mentadbir Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kini adalah masa untuk semua perlu memandang ke hadapan selepas pihak yang gagal telah pun diundurkan.

Namun katanya, realiti semua tahu penyokong dan pendokong pihak yang telah kehilangan kuasa masih tidak puas hati maka sedang memperhebatkan dakyah ke atas UMNO terutama Presidennya.

Jelasnya, gara-gara tersangat geram dan marah jawatan serta kedudukan pemimpin mereka hilang selepas 18 bulan di puncak kuasa.

“Walaupun ini lumrah, namun agak sedih kerana mereka tidak pula memikirkan tentang geram dan marah rakyat terhadap kegagalan yang menyebabkan hampir 13,000 nyawa telah terkorban.

“Setiap hari beratus insan tidak bersalah meninggal dunia sehinggakan tanah kubur untuk jenazah umat Islam dikatakan semakin terhad.

“Berpuluh ribu perniagaan dilaporkan gulung tikar dan jutaan orang hilang mata pencarian gara-gara dasar dan polisi yang bias.

“Alasan penyokong dan pendokong mereka cukup mudah iaitu negara lain pun ramai mati – tanpa menyentuh tentang aspek populasi dan saiz sesebuah negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk pernah mengatakan jumlah kematian dan kes jangkitan serta kesan buruk pandemik terhadap ekonomi Malaysia tidak sepatutnya begitu parah.

Kata beliau lagi, jika dari awal ia diuruskan dengan baik tanpa terlalu beragendakan ‘politicking’ sehingga apa yang wajar dilaksanakan ditolak ke tepi hanya kerana dicadangkan oleh parti UMNO.

“Seperti diramalkan mereka kini sedang hebat memainkan propaganda sayu dan pilu atau apa disebut sebagai ‘play victim’ untuk mengelirukan rakyat.

Berikut adalah dua perkara yang dizahirkan oleh Presiden:

Pertama: Memperdaya fikiran rakyat konon patut berasa sedih kerana pemimpin mereka terpaksa meletak jawatan.

Caranya dengan ‘mewayangkan’ pemimpin mereka telah hampir berjaya menyelamatkan rakyat dan negara daripada pandemik.

Konon tidak dapat meneruskannya selepas kehilangan kuasa dan kini negara dalam bahaya.

Sedangkan negara sememangnya telah pun dalam bahaya apabila jumlah yang dijangkiti setiap hari kini melebihi jumlah yang sembuh.

Jumlah kes kematian hampir 300 setiap hari dengan kes aktif COVID-19 dalam kalangan penduduk Malaysia hampir 250,000 orang.

Hampir berjaya yang dimaksudkan iaitu kira-kira 10 juta orang telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 sedangkan PICK telah bermula sejak Februari lalu.

Itu pun jumlah suntikan hanya dipertingkat dengan ketara selepas Ordinan Darurat sudah ada bayangan terpaksa ditamatkan dan UMNO membuat keputusan menarik balik sokongan.

Kedua: Menghasut fikiran rakyat supaya menyalahkan pimpinan UMNO dan Presidennya konon rakus kuasa.

Walhal hakikat sebenar pemimpin mereka meletak jawatan selepas kegagalan membendung penularan COVID-19.

Kegagalan itu yang menyebabkan majoriti parti politik dan Ahli Parlimen hilang kepercayaan.

Bukan kerana 1MDB, kes mahkamah atau ada pihak mahu merebut kuasa seperti yang dituduh berulang kali dalam perutusan.

Jika pemimpin mereka berjaya mentadbir negara dan menguruskan pandemik COVID-19 dengan bagus maka tiada alasan atau sebab untuk mana-mana pihak mendesak beliau berundur.

Sehubungan itu beliau menasihatkan kepada yang bermati-matian menghasut, menghina, mencerca, memfitnah kepimpinan parti dan UMNO, beliau memaafkan semuanya, dengan iringan doa semoga Allah mengampunkan segala dosa dan kelhilafan kita, Rahmat dan Redha Allah jualah yang diharapkan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.