Cadangan Dewan Komuniti Dijadikan Pusat Kuarantin Warga Asing Perlu Dibatalkan – Imran Tamrin
KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang Datuk Mohd Imran Tamrin membantah dan menolak cadangan menjadikan dewan komuniti sebagai pusat isolasi COVID-19 berpusat sementara bagi pekerja bukan warganegara.
Beliau secara tegas berharap agar cadangan dibatalkan serta merta mengambil kira risiko yang dihadapi oleh penduduk setempat.
“Menempatkan warganegara asing di dewan-dewan komuniti tersebut bukanlah suatu tindakan yang bijak dan sesuai ketika mana rakyat khususnya penduduk setempat perlu akur dengan sekatan-sekatan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk untuk sentiasa berada di rumah jika tidak ada keperluan keluar.
“Adalah lebih baik jika dewan-dewan komuniti tersebut dan kakitangan kerajaan yang akan dimobilisasi nanti digunakan untuk membuka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tambahan bagi mempercepatkan lagi kadar pemvaksinan dalam Daerah Sabak Bernam,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Jelas Mohd Imran lagi dalam mendepani isu ini beliau berpandangan bahawa pihak yang bertanggungjawab telah mengambil pendekatan yang salah dan tersasar dalam mengawal selia kes-kes melibatkan pekerja warganegara asing.
Tegas beliau lagi tindakan ini adalah tidak wajar malah seolah-olah mengambil tanggungjawab statutori bagi pihak majikan untuk penyediaan penginapan pekerja mereka bagi tujuan isolasi dengan menggunakan aset milik kerajaan yang diurus tadbir dan dikawal selia oleh pihak Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).
“Menjadikan dewan-dewan komuniti tersebut sebagai pusat isolasi warganegara asing adalah satu kesalahan kerana dewan-dewan komuniti tersebut tidak mempunyai warta sah sebagai pusat kuarantin atau isolasi COVID-19 di bawah mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
“Majikan-majikan juga tidak boleh diberi kebenaran menggunakan atau menyewa dewan-dewan awam untuk tujuan berkenaan kerana dewan-dewan komuniti tersebut didirikan dan tersedia untuk tujuan awam serta bukan dan tidak termasuk untuk tujuan kuarantin.
“Mereka digesa untuk bertanggungjawab penuh menyediakan kemudahan-kemudahan penginapan dan tempat tinggal bagi pekerja-pekerja mereka sepertimana yang telah digariskan dalam Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 [Akta 446] termasuk menjadikan penginapan dan tempat tinggal tersebut sebagai tempat isolasi dan kuarantin kepada pekerja yang positif atau menjadi kontak rapat individu positif,” tegas beliau.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar berkata kegagalan majikan menyediakan kemudahan tersebut adalah suatu pengabaian dan kesalahan.
“Maka, saya dan seluruh rakyat serta warga Daerah Sabak Bernam khususnya di dalam DUN Sungai Panjang dan Parlimen Sungai Besar menggesa agar pihak pentadbiran segera membatalkan cadangan tersebut dan mencari jalan penyelesaian lain.
“Terutamanya meletakkan tanggungjawab tersebut kepada pihak majikan mereka dan sekiranya majikan mereka gagal, tindakan tegas perlu diambil termasuk mencadangkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) jika perlu,” ujar beliau. –UMNO Online