PM Tiada Alasan Tangguh Perletakan Jawatan – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengingatkan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin bahawa rakyat Malaysia menanti dengan tenang untuk Ahli Parlimen Pagoh itu melakukan perkara yang wajar, benar dan terhormat.

Ujarnya, seantero dunia mengetahui bahawa Perdana Menteri tidak lagi mempunyai majoriti dan tiada apa jua alasan yang mewajarkannya menangguhkan perletakan jawatan walau sesaat lewat.

“Perlembagaan Malaysia bukan instrumen yang boleh diperlaku dan ditafsir dengan nafsu dan kehendak sang penguasa. Ia adalah instrumen yang dirangka untuk melindungi kepentingan negara dan bangsa ini, bukan melindungi seorang Perdana Menteri atau mana-mana parti politik.

“Justeru Perdana Menteri yang dihormati, masa Tan Sri telah tiba. The game is over! Serahkan kembali kuasa dan kerajaan kepada rakyat dan biarkan rakyat menentukan jalan seterusnya.

“Negara ini tidak boleh diperjudi dan diperlakukan seperti ini. Malaysia dan masa depannya lebih besar, lebih penting dan lebih utama dari kepentingan sekelompok dari Tan Sri,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Tambah Khaled lagi, Mahiaddin juga pernah berjuang puluhan tahun dalam UMNO untuk negara ini menjadi lebih baik.

“Malah kita sebelum ini bersama dalam perjuangan itu. Kemudian Tan Sri meneruskan perjuangan dengan parti baru serta akhirnya diberikan kepercayaan untuk mengemudi kerajaan Perikatan Nasional.

“Tetapi percayalah, walaupun Tan Sri merasakan bahawa telah melakukan yang terbaik tetapi yang terbaik dari Tan Sri dan rakan-rakan dalam kerajaan itu tidak sepertinya pada sisi pandang rakyat dan kami semua,” katanya.

Begitu juga ulasnya lagi, pilihan raya atau apa jua pilihan seterusnya, biarkan Raja putuskan dengan hikmah dan pedoman yang terbit dari segala rasa hati dan nurani rakyat.

“Amerika Syarikat mengadakan pemilihan Presiden pada waktu pandemik memuncak. Tetapi pilihan raya tersebutlah yang telah menyelamatkan Amerika, bukan sahaja dari pandemik yang lebih parah, tetapi juga dari kecurangan dalam amalan demokrasi. Mungkin ini yang Malaysia perlukan.

“Akhirnya Perdana Menteri, berilah laluan dengan terhormat untuk orang lain pula meneruskan perjalanan negara ini. InsyaAllah, dengan melakukan perkara sedemikian, Tan Sri akan dikenang sebagai pemimpin yang benar-benar menjiwai denyut nadi rakyat negara ini dan mencintai tanah air ini dengan sebesar-besar cinta dan kasih,” gesanya.

Katanya lagi, Malaysia mesti diberikan peluang untuk direkayasa dan dibangunkan semula.

“Semoga segala khidmat, darmabakti dan sumbangsih Tan Sri sebagai Perdana Menteri akan diterima sebagai amal kebaikan dan diberikan ganjaran sebaiknya di alam yang baqa nanti,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.