Kelembapan Keputusan Buka Sekolah September Terjemah Kegagalan Menteri – Shahril

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan melihat kelembapan membabitkan keputusan untuk membuka semula sekolah pada 1 September ialah satu lagi terjemahan kelemahan kerajaan dan khususnya Menteri Pelajaran.

Ini kerana katanya, September hanya tiga minggu lagi tetapi sehingga hari ini tiada pengumuman apa perancangan mereka untuk menunda pembukaan sesi persekolahan fizikal.

Dalam hal ini, beliau sependapat dengan cadangan dari Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang meminta gara tarikh untuk membuka semula sekolah pada 1 September akan datang harus dipertimbangkan semula ekoran terlalu banyak bilangan kes COVID-19 dalam negara.

“Cadangan Tok Mat untuk mengambil pendekatan berasaskan negeri dan kawasan adalah cadangan tepat. Itulah jenis idea yang patutnya Kementerian fikirkan, kemudian umumkan awal.

“Bukan guna keputusan tangkap muat yang dibuat lama dahulu kemudian apabila senario berubah, tidak cakna kepada situasi semasa. Dengan penularan tinggi disaat ini ibu bapa pun barangkali tidak mahu hantar anak ke sekolah,” katanya berkaitan isu terbabit menerusi satu kenyataan, hari ini.

Soal Shahril, Jika keputusan buka dikekalkan juga, apa akan jadi kepada murid-murid yang tidak ke sekolah, sedangkan guru yang mengajar PdPR akan sibuk mengajar seperti biasa di sekolah?

“Atau adakah KPM akan ulangi kesilapan hanya umumkan keputusan di saat akhir?

“Di saat ini ibu bapa runsing memikirkan sama ada nak hantar atau tidak, mungkin dah buat persiapan – kemudian akhirnya dibatal. Macam mana orang tak marah?” tegas beliau lagi.

Dilaporkan, pada Julai lalu, KPM menetapkan sesi persekolahan untuk Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka ditetapkan mulai 1 September ini secara berperingkat namun sehingga kini masih belum ada sebarang kata putus biarpun angka jangkitan COVID-19 masih terlalu tinggi.

Hari ini, Malaysia merekodkan 21,668 kes baharu COVID-19 iaitu angka harian tertinggi sejak pandemik tersebut melanda negara tahun lepas, sementara semalam semalam, ialah sebanyak 20,780 kes baharu wabak itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.