Sampai Bila PN Hendak Main Wayang Untuk Nampak Hero? – Fairuz Jamaludin

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Fairuz Jamaludin mengingatkan segelintir pihak untuk tidak mengelirukan rakyat dengan kenyataan seolah-olah usaha memerangi COVID-19 akan terhenti jika ada pertukaran Perdana Menteri.

Jelas beliau fakta menjelaskan segalanya kerana setelah rakyat diseksa, dikurung dan ditekan dengan naratif ‘darurat melawan COVID-19’ ternyata ianya dusta kerana Proklamasi Darurat hanya untuk mengekalkan kuasa.

“Sampai ke hari ini, kes COVID-19 negara ini tak turun-turun. Kekal bermain di angka 18,000 hingga 20,000. Negara Indonesia buat juga lockdown tetapi ada hasil.

“Kes harian berkurang dari 57,000 kes kepada 22,000 kes selepas pelaksanaan lockdown separa selama sebulan,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Namun menurut Fairuz menghairankan situasi di Malaysia apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilakukan penularan wabak ini mencatatkan peningkatan.

“Kematian pun semakin membimbangkan. Sebab apa begitu? Mudah, polisi gagal. Pelaksanaan gagal. Akhirnya, semua gagal.

“Lebih teruk, cuba pula bemain wayang untuk nampak seperti penyelamat rakyat di kala ini. Usahlah tunggang COVID-19 untuk mengaburi rakyat,” tegas beliau.

Tambah beliau hakikatnya ketika ini barisan hadapan yang bertungkus-lumus bermandi keringat bekerja siang malam menyelamatkan rakyat.

“Barisan hadapan juga yang menguruskan dari awal jangkitan hinggalah pengakhirannya. Bukan Perdana Menteri yang merawat pesakit kerana Perdana Menteri hanya merangka polisi.

“Tetapi setakat ini, polisi yang dirangka hanya buat rakyat lebih duka. Telah terbukti bahawa polisi yang ada hanyalah menyusahkan barisan hadapan dan rakyat dengan polisi-polisi gagal.

“Kerajaan tetap berjalan cuma polisi akan berbeza. Sebagai bukti, kerajaan tetap berjalan walaupun Perdana Menteri masuk hospital seminggu semasa dia diarea. Tak lumpuh pun kerajaan,” tegas beliau.

Beliau juga turut mengambil contoh beberapa negara luar seperti Amerika Syarikat yang tidak lumpuh apabila Joe Biden menggantikan Donald Trump pada Januari lalu.

“Jepun juga tidak lumpuh apabila Yoshihide Suga ganti Shinzo Abe pada bulan September lalu di tengah pandemik. Jadi untuk apa lagi Perikatan Nasional ini dikekalkan? Sudah gagal, berundur sahaja.

“Kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan pintu belakang yang sepatutnya menyelamatkan rakyat. Tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Serahkan mandat kepada rakyat semula.

“Sampai bila nak main wayang untuk nampak hero? Sampai bila kes nak turun? Sampai bila ekonomi nak pulih? Sampai bila nak seksa rakyat? Cukup-cukuplah,” soal beliau. –UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.