PM Mengelirukan Dan Berniat Menipu Agong – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin yang didakwa telah mengelirukan dan berniat menipu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor laporan polis tersebut dibuat setelah melihat secara langsung sidang media Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri bersama 17 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) lain dengan menyatakan pendirian untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin.

“Sidang media tersebut juga memaklumkan bahawa 31 ahli Parlimen daripada 42 Ahli Parlimen BN akan kekal menyokong kerajaan PN ianya juga membuktikan dan mengesahkan Perdana Menteri dan PN telah hilang sokongan majoriti. Kenyataan ini disokong dengan surat akuan yang diperoleh oleh pihak UMNO dan telah dihantar untuk dipersembahkan kepada YDPA.

“Setelah mengetahui ketetapan jumlah ahli Parlimen yang masih menyokong PN timbul persoalan apabila pada tarikh 4 Ogos 2021, Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin telah menyebut dalam perutusan khas yang berbunyi: Dalam majlis menghadap pagi ini, saya telah menyembah maklum kepada YDPA bahawa saya telah menerima sejumlah surat akuan daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang meyakinkan saya bahawa saya masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

“Namun, setelah Pemuda UMNO meneliti jumlah kerusi pada Sidang Parlimen Khas tempohari, jumlah kerusi yang menyokong PN (dikemaskini sehingga 3 Ogos 2021) adalah sebanyak 111 berbanding pembangkang yang mempunyai 103 kerusi dan bebas 6 kerusi. Dua lagi kekosongan adalah di Parlimen Gerik dan Parlimen Batu Sapi membuatkan jumlah keseluruhan kerusi di dalam Dewan Rakyat kini adalah sebanyak 220 kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu sidang media yang turut disertai Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Tengku Hafiz Tengku Putera yang diadakan sebentar tadi di Menara Dato’ Onn.

Menurut Noor Hariri, UMNO telah menyenaraikan sekurang-kurangnya 11 orang ahli Parlimen hadir di sidang media Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Ogos 2021 yang menarik sokongan kepada Perdana Menteri

“Kalau ditambah dengan peletakan jawatan oleh dua menteri Kabinet iaitu Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad maka bahawa kerajaan kini telah jatuh dengan bilangan sekarang kerusi kerajaan hanya tinggal 98 kerusi.

“Perdana Menteri perlu segera meletakkan jawatan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 43(4) yang mana: Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri…”

“Justeru, secara jelas perutusan Perdana Menteri yang mendakwa kerajaan PN pada ketika ini masih mempunyai majoriti Dewan Rakyat adalah tidak benar sama sekali. Mahiadin Yassin tidak lagi mempunyai legitimasi untuk menasihati YDPA bahkan harus meletakkan jawatan Perdana Menteri dengan segera,” ujarnya.

Beliau juga turut mempersoal legitimasi Perdana Menteri untuk menasihati YDPA sebagaimana Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan malah Ahli Parlimen Pagoh itu juga jelas terbukti mengelirukan dan menipu YDPA semasa sidang medianya pada 5 Ogos 2021.

“Saya mendesak agar polis dapat segera menyiasat Mahiaddin Yassin yang dilihat cuba mengelirukan dan membohongi YDPA bagi memastikan dirinya dapat terus berkuasa. di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang menyatakan.

“Barang siapa, dengan apa-apa cara, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun,” tegas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.