COVID-19: Jangan Ada ‘Standard’, Nyawa Lebih Berharga – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Hari demi hari ratusan rakyat Malaysia tidak bersalah terus terkorban dan sehingga kini lebih 10,000 orang telah kehilangan nyawa, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Jelasnya, lebih 1,000 insan yang sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan terdapat juga ratusan daripada mereka yang memerlukan bantuan alat pernafasan.
Katanya, kes jangkitan baharu ini lebih tinggi berbanding kes sembuh.
“Total kes jangkitan COVID-19 di Malaysia mencecah 1.2 juta tetapi mereka cuba menggambarkan ini ‘standard’ kerana sebab ada negara lain ramai yang mati, maka tidak perlu bising-bising.
“Jangkitan tinggi wabak adalah ‘acceptable’ dan ‘unavoidable’,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook.
Tambah Ahmad Zahid, bagi UMNO setiap nyawa adalah sangat-sangat berharga.
“UMNO tidak boleh terima lebih 10,000 nyawa terkorban begitu sahaja dan UMNO yakin jumlah kematian tidak sepatutnya begitu tinggi,” katanya lagi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menjelaskan bahawa negara Malaysia ada kemampuan untuk membendungnya.
“Rakyat Malaysia tidak sebegitu lemah dalam peperangan ini. Tetapi mereka yang menguruskan pandemik ini yang telah gagal,” ujarnya.
Justeru katanya pasukan propaganda yang bernilai RM40 juta berusaha untuk menanam persepsi ini dan penyokong mereka sentiasa membantu menyemat naratif politik ini.
“Ya Allah… Kau rahmatilah usaha UMNO untuk mengubah keadaan ini. Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata,” ujarnya lagi. – UMNO Online