Melaka Cadang Laksana Program Vaksinasi COVID-19 Untuk Penggiat Pelancongan

MELAKA, 7 Ogos – Kerajaan negeri bercadang melaksanakan program vaksinasi COVID-19 melibatkan penggiat industri pelancongan dalam tempoh terdekat sebagai persediaan sekiranya sektor berkenaan dibenarkan beroperasi.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata pihaknya sudah menerima senarai nama pemain sektor pelancongan negeri untuk diberi vaksin, namun cadangan pelaksanaannya memerlukan kelulusan beberapa pihak antaranya Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) selain bergantung kepada bekalan vaksin yang diterima Melaka.

“Kita masih berada di dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) namun usaha melaksanakan program khas vaksinasi bagi penggiat industri pelancongan perlu dilakukan sebagai salah satu inisiatif untuk memulihkan industri pelanocngan negeri yang terjejas teruk ekoran penularan COVID-19.

“Kita berharap sekiranya Melaka beralih ke fasa PPN seterusnya dan industri pelancongan dibenarkan beroperasi, pemain sektor ini telah bersedia sekali gus memberi keyakinan kepada pelancong,” katanya kepada pemberita selepas Program Outreach pusat pemberian vaksin (PPV) di Masjid Al-Alami di sini hari ini.

Turut hadir Penasihat Agama kepada Ketua Menteri Datuk Kamarudin Sidek dan Penyelaras Koordinasi Program Outreach PPV Masjid Al-Alami Datin Dr Rina Salwani.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata usaha itu secara tidak langsung dapat membantu mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) selain memastikan Melaka dapat mencapai imuniti kelompok secepat mungkin dalam usaha memulihkan ekonomi negeri.

Beliau berkata setakat 5 Ogos, sebanyak 53.12 peratus atau 359,817 penduduk negeri Melaka telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 manakala 29.8 peratus atau 201,859 orang telah menerima dos kedua.

Katanya secara keseluruhan sebanyak 89.6 peratus atau 606,681 penduduk Melaka telah berdaftar di bawah PICK dan jumlah itu membuktikan kesedaran rakyat negeri itu untuk mendapatkan vaksin COVID-19 adalah tinggi.

Mengenai program hari ini Sulaiman berkata pendekatan vaksinasi COVID-19 di masjid telah diperluaskan di empat masjid di negeri itu termasuk Masjid Al-Alami.

“Program pemberian vaksin di masjid terbuka kepada penerima beragama Islam dan bukan Islam di dalam kariah masing-masing dan saya dimaklumkan terdapat banyak lagi masjid yang memohon untuk melaksanakan program ini namun kelulusannya bergantung kepada beberapa aspek termasuk bekalan vaksin yang diterima,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.