Pembukaan Sekolah Perlu Diperhalusi, Ambil Kira Risiko Varian Baharu – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa agar kerajaan memperhalusi lebih teliti berkenaan pembukaan sekolah pada awal September dengan mengambil kira risiko besar penularan varian baharu COVID-19.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata dengan angka kes baharu COVID -19 yang kini sudah mencecah 20,000 kes harian beliau tidak mahu para pelajar ini terdedah dengan varian baharu yang lebih memudaratkan sehingga mengancam nyawa.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan pada 17 Julai 2021 menyatakan bahawa sekolah boleh dibuka seawal September tahun ini. Manakala, Menteri Kesihatan mengesahkan bahawa setakat ini, seramai 326,998 orang guru sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos manakala seramai 215,999 orang guru lagi telah lengkap menerima kedua-dua dos vaksin COVID-19 dengan berbaki lebih 85,000 masih belum divaksin.

“Kami berpendapat pandemik yang melanda negara sejak tahun lepas telah menyebabkan sistem pendidikan negara terdedah dengan risiko keciciran yang teruk di kalangan anak-anak kita yang bersekolah.

“Pun begitu, disebalik perancangan KPM dan komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mempercepatkan program vaksinasi bagi guru-guru bagi menyokong pembukaan sekolah seperti dijadualkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut Asyraf adalah menjadi kewajiban bagi kerajaan melalui kerjasama erat di KPM dan KKM untuk mula mengambil kira soal program vaksinasi untuk murid-murid sekolah.

Jelas beliau pendekatan pengajaran dan pembelajaran di Rumah (PdPR) yang lebih segar dan realistik dengan penyediaan infrastruktur internet, tablet peranti, pemurnian kandungan akademik dan DidikTV serta penggubalan prosedur operasi standar (SOP) yang bersesuaian dan selamat sekiranya masih mahu sekolah dibuka seperti yang dirancang.

“Pemuda UMNO Malaysia sedia membantu memberikan input dan pandangan mengenai perkara ini kerana semua pihak tidak mahu risiko keciciran menjadi bertambah besar sehingga boleh mencetuskan sebuah ‘Generasi yang Hilang’ (A Lost Generation) di kalangan anak-anak kita akibat terputusnya pendidikan yang penting di dalam tumbesaran minda dan sahsiah mereka,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.