Kesihatan Mental Perlu Turut Diberi Perhatian Utama Ketika Pandemik COVID-19 – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Malaysia menganggap bahawa pandemik COVID-19 bukan sekadar krisis kesihatan umum dan ekonomi sahaja, kata Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada sambutan ulang tahun ASEAN ke-54 hari ini.

Beliau berkata, kesejahteraan individu terutamanya kesihatan mental turut penting untuk ditangani.

“… ada aspek ketiga yang perlu juga kita beri perhatian iaitu kesejahteraan individu terutamanya kesihatan mental,” katanya berucap pada sambutan ulang tahun itu yang diadakan secara maya pada Jumaat.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menekankan betapa pentingnya rakyat diberikan sokongan mental yang mencukupi ketika berdepan dengan wabak.

Ketika pandemik COVID-19 merebak dengan pantas ke seluruh dunia, warga dunia berdepan ketakutan, kebimbangan dan kerisauan terutama warga emas, penyedia perkhidmatan penjagaan serta mereka yang mengalami masalah kesihatan.

Merujuk kepada pengalaman Malaysia, menteri kanan itu berkata, institusi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, melancarkan usaha untuk menangani isu kesihatan mental.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Kemasyarakatan (CSO) turut serta, katanya dan memainkan peranan masing-masing bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental serta menggalakkan pendekatan seluruh masyarakat.

“Kumpulan Riben Hijau, umpamanya, bertindak sebagai badan sosial bagi memperkasa pihak berkepentingan bagi memupuk kesedaran mengenai kesihatan mental menerusi khidmat runding cara.

Sementara itu, Hishammuddin turut berkata, tema kepemimpinan Brunei selaku Pengerusi ASEAN tahun ini ‘We Care, We Prepare, We Prosper‘ turut menggambarkan komitmen menyeluruh ASEAN bagi menguatkan semangat mengambil berat dalam kalangan Komuniti ASEAN.

Ia juga menggambarkan keutamaan ASEAN pada tahun ini, iaitu untuk segera meringankan penderitaan rakyat dan kehidupan akibat pandemik ini.

“Pada detik sukar seperti ini, kita saling memerlukan. Hanya dengan bekerjasama, kita boleh berjaya mengharungi cabaran ini,” katanya.

Pada 8 Ogos 1967, lima menteri luar dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand, memeterai Deklarasi ASEAN, menandakan penubuhan rasmi pertubuhan serantau itu. Selepas itu ASEAN berkembang menjadi sebuah blok kerjasama serantau dengan 10 negara anggota. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.