UMNO Perlu Mengetuai Kerajaan Gabungan BN, PN Dan Gabungan Parti Sarawak

1. Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen yang membahagikan kuasa kepada tiga bahagian, iaitu Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

2. Apakah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa atau budi bicara berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan (yang menyatakan tindakan Baginda hendaklah mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri)..? Ayat seterusnya dalam fasal ini menyebutkan; ‘Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya untuk mendapatkan apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

3. Selain itu, Perkara 40 Fasal 3(a) ada menyatakan bahawa Baginda mempunyai “budi bicara untuk bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang, selain Jemaah Menteri pada menjalakan fungsinya.”

4. Sebenarnya Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah melaksanakan fungsinya dengan begitu tertib berkaitan isu Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dan mengikut kehendak perlembagaan negara demi menjaga amalan Demokrasi Berparlimen yang lebih telus, tanpa ada apa-apa kepentingan politik. Melalui beberapa kenyataan media Istana Negara dan warkah kepada Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong konsisten dengan menyatakan bahawa Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara hendaklah dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat setelah memperhalusi semua pandangan pemimpin politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan taklimat para pakar dari pelbagai agensi kerajaan, di samping pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

5. Dalam warkah kepada Perdana Menteri juga Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong menitahkan dengan jelas;

i. permohonan perkenan Pembatalan Ordinan Darurat dilakukan secara tergesa-gesa (2 hari sebelum sidang Parlimen)
ii. memerlukan masa untuk meneliti dan mendapatkan pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.
iii. Prokalamsi dan Ordinan Darurat perlu dibentang dan diungkaikan di Parlimen [Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan].
iv. terdapat persoalan berbangkit, khususnya berkaitan tindakan undang-undang yang dikeluarkan di bawah Ordinan Darurat bagi tempoh 21 hingga 25 Julai 2021.

6. Walau bagaimanapun, kerajaan melalui Menteri Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang telah membuat kenyataan yang mengelirukan di parlimen pada 26 Julai 2021 dengan berniat supaya Ordinan Darurat tidak diungkaikan dan dibahaskan.

7. Perkara ini adalah suatu yang amat serius, bukan sahaja beliau telah melakukan sesuatu yang mengelirukan ahli-ahli parlimen dan rakyat, malah tidak mengindahkan nasihat Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang dititahkan ke atasnya, padahal Baginda yang telah melantik beliau sebagai Menteri.

8. Oleh hal yang demikian, Perdana Menteri selaku Pengerusi Jemaah Menteri dan Menteri yang berkenaan adalah bertanggungjawab ke atas insiden yang berlaku, sehingga menyebabkan berlakunya protes di jalanan selama dua hari berturut-turut, yang juga disertai oleh beberapa orang ahli parlimen. Keadaan ini sudah pasti menjejaskan imej kerajaan di mata dunia dan menghilangkan kepercayaan rakyat kerana kedudukan Raja-Raja Melayu sangat dekat di hati. Oleh itu, Perdana Menteri sepatutnya dengan rendah hati memohon ampun secara terbuka terhadap kekhilafan kerajaan terhadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

9. Selain insiden tersebut, netizen (merujuk kepada komen di media sosial, khususnya facebook dan instagram) dan rakyat kebanyakan, peniaga dan pekerja telah melalui keadaan sengsara dalam tempoh yang panjang. Para peniaga tidak dapat melangsungkan perniagaan mereka menyebabkan para pekerja diberhentikan atau dberi cuti tanpa gaji. Sektor ekonomi lumpuh menyebabkan sebahagian besar rakyat hilang pekerjaan dan tidak ada pendapatan untuk meneruskan kehidupan. Adakah kerajaan sedar, ‘memenjara’ rakyat dengan duduk di rumah telah menyebabkan kos harian setiap isi rumah meningkat (kos makanan, elektrik dan air)..? Sedangkan pendapatan isi rumah merosot atau tiada langsung.

10. Sektor pendidikan yang merupakan kunci untuk melahirkan generasi berilmu masa hadapan juga semakin membimbangkan. Sesi persekolahan telah masuk tahun tahun ke-2 menggunakan kaedah pembelajaran dari rumah (PdPR) yang dijangka menyaksikan hampir 50% pelajar akan tercicir disebabkan tidak hadir ‘kelas secara maya’ disebabkan tiada alat peranti, tiada wifi dan tidak kurang yang tiada motivasi. Begitu juga dengan beberapa sektor sosial lain yang tidak dapat dihuraikan dengan terperinci.

11. Pelbagai kesusahan yang dihadapi rakyat menyebabkan tercetusnya konotasi ‘kerajaan gagal’. Konotasi ini tidak hanya menjurus kepada peningkatan harian kes baharu jangkitan covid-19 yang mencecah berbelas ribu, tetapi juga berkaitan ketidakberkesanan “delivery system” dan inisiatif bantuan kerajaan. Pada umumnya rakyat hanya merasa terkurung di rumah dan tidak merasai kerajaan hadir membantu.

12. Berasaskan kepada dua perkara di atas, telah sampai masanya, kerajaan gabungan Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak (BN+PN+GPS) untuk distruktur semula dan meletakkan UMNO dan Barisan Nasional sebagai ketua kerajaan serta menguruskan kementerian yang penting untuk menggerakkan semula sistem ekonomi dan memperbaiki sistem sosial rakyat. UMNO dan Barisan Nasional merupakan parti yang mempunyai ahli paling ramai dan jentera yang paling tersusun, khususnya di Semenanjung dan Sabah, berbanding dengan jentera parti lain dalam kerajaan gabungan BN+PN+GPS. Jentera UMNO dan Barisan Nasional mampu untuk membantu mengupayakan “delivery system” kerajaan.

13. Oleh itu, saya menyeru kepada kepimpinan Perikatan Nasional, khususnya PPBM dan PAS supaya berbesar hati untuk melihat kemaslahatan ummat dan rakyat sebagai keutamaan dalam pentadbiran negara, serta rendah hati untuk meletakkan kepimpinan UMNO sebagai ketua kerajaan bagi meneruskan kesinambungan politik negara, kerana tidak dapat dinafikan bahawa kepimpinan UMNO memang berpengalaman dalam menguruskan kerajaan.

14. Hari ini Majlis Kerja Tertingi (MKT) akan mengadakan mesyuarat untuk menentukan hala tuju politik yang seterusnya. UMNO Bahagian Kluang menyarankan supaya;

i. UMNO perlu memilih jalan yang tertib untuk menguruskan kemelut politik yang sedang berlaku dalam negara. Pada waktu ini, UMNO sebagai parti yang sangat berpengalaman sentiasa menjadi kerinduan rakyat, namun tingkah lakunya juga menjadi perhatian. Bak kata pepatah, menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berserak. UMNO perlu membawa keluar konotasi ‘kerajaan gagal’ di minda rakyat dengan menstrukturkan semula kerajaan (melalui keputusan MKT pada 7 Julai 2021), dan dalam masa yang sama menunjukkan tauladan yang baik serta kebijaksanaan dengan rakan perkongsian.

ii. UMNO perlu meletakkan diri pada kedudukan yang “advantage” dalam menyelesikan kemelut yang sedang berlaku. Kalau pada peringkat pembentukan kerajaan gabungan ini UMNO hadir sebagai pelengkap, maka dalam penstrukturan semula ini, UMNO seharusnya menjadi penentu, kerana kesemua parti komponen dalam Perikatan Nasional sudah pasti tidak bersedia untuk menjadi pembangkang.

iii. UMNO perlu memastikan semua ahlinya, termasuk ahli-ahli parlimen dan seluruh kepimpinan parti akur terhadap keputusan dan disiplin parti. Ahli Majlis Kerja Tertinggi yang juga mengandungi wakil parti dalam kerajaan sedia ada merupakan ‘kabinet’ yang menentukan dasar dan hala tuju parti, selain Perhimpunan Agung UMNO (PAU). Sesungguhnya tingkah laku ahli-ahli parlimen dan kepimpinan tertinggi parti sentiasa diperhati dan diulas oleh netizen (pengguna internet) serta rakyat keseluruhannya.

iv. UMNO juga perlu memastikan semua ahlinya, termasuk kepimpinan tertinggi parti dan ahli-ahli parlimennya mempertahankan Fasal 3 Perlembagaan UMNO (Asas dan Tujuan), khususnya yang berkaitan kemelut yang sedang berlaku, iaitu Fasal 3(2); “Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-Negeri dan Raja Berperlembagaan”. Raja Berperlembagaan tidak boleh hanya ditafsir sebagai menjalankan tugas mengikut nasihat kabinet, tetapi juga mempunyai budi bicara tertentu seperti yang terkandung dalam perlembagaan negara.

Mudah-mudahan keikhlasan dan ketelusan niat semua pihak yang berkepentingan akan menyuluh kita ke jalan kejayaan.

DATUK HJ MD. JAIS BIN SARDAY
Ketua UMNO Bahagian Kluang, Johor
3 Ogos 2021

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.