Saya Bukan Setakat ‘Menyalak’ Di FB Tapi Banyak Medium Diguna Sampaikan 10 Tuntutan Rakyat – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap kerajaan tidak terus mendiamkan diri terhadap 10 tuntutan rakyat walaupun Parlimen ditutup semula atas alasan penularan COVID-19.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ini kerana beliau menerima pelbagai mesej yang bertanya berkenaan status tuntutan tersebut termasuk i-Citra RM10,000 one-off, moratorium tanpa faedah terakru, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), tambahan nilai Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas COVID-19 (BKC).

“Saya minta maaf banyak-banyak kerana masih belum berjaya mendesak sehingga kerajaan akur kepada suara hati rakyat yang amat susah dan tertekan ketika ini.

“Setakat ni kerajaan masih sepi tanpa berita. Ingat ke boleh juga manfaatkan platform Parlimen untuk tekan Perdana Menteri dan menteri kewangan agar penuhi harapan rakyat.

“Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan sudah bantu bawa cadangan ini, bahkan sepatutnya Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak juga berucap hari Khamis dengan teks yang memasukkan isu tuntutan rakyat yang diperjuangkan Pemuda UMNO ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Asyraf, beliau bukannya ahli Parlimen, oleh itu sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO beliau hanya mampu berusaha sedaya dan sebaik mungkin untuk memastikan suara rakyat ini diperjuangkan sehabis baik melalui pelbagai cara dan medium.

“Saya bukan setakat ‘menyalak’ (istilah sinikal segelintir) di Facebook dan media sosial sahaja, tetapi termasuklah menyerahkan sendiri 10 tuntutan rakyat kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 9 Julai 2021 pukul 12.30 tengahari di kediaman Presiden UMNO.

“Malah turut menyerahkan dan menerangkan panjang lebar secara terperinci hampir sejam setengah kepada Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul berkenaan tuntutan rakyat pada 13 Julai 2021 pukul 1.30 tengahari di Pejabat Menteri Kewangan.

“Hampir setiap minggu sebelum mesyuarat kabinet, saya akan Whatsapp kepada beberapa menteri UMNO termasuk Timbalan Perdana Menteri untuk mereka tolong bawa suara rakyat mengenai tuntutan rakyat. Salah seorang menteri (tidak mahu namanya disebut) respon dan akui telah bawa dalam mesyuarat Kabinet,” jelas beliau.

Tambah beliau, hampir setiap hari juga beliau menghubungi menteri kewangan melalui Whatsapp untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai tuntutan rakyat meskipun ada mesej dibalas dan ada yang menyepi.

“Saya juga berbincang dan memberikan penerangan kepada wakil Ahli Parlimen UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan merangkap Setiausaha Agung UMNO untuk beliau bawa tuntutan rakyat di Sidang Khas Parlimen pada 26 Julai. Alhamdulillah beliau kotakan janji beliau.

“Turut berbincang juga dengan Datuk Seri Najib Razak selaku Ahli Parlimen Pekan untuk masukkan dalam ucapan beliau berkenaan 10 tuntutan rakyat dan pendekatan radikal untuk tangani kes COVID-19 yang naik mencanak. Sepatutnya dibentangkan hari Khamis tapi kekecohan insiden penderhakaan terhadap titah YDPA telah menyebabkan sesi Parlimen hari tersebut ditangguhkan.

“Saya faham ramai yang tertekan dan terdesak, malah ada yang menangis-nangis mengadu kepada kami. Sebab itulah saya dan Pemuda cuba yang terbaik dan tidak pernah mengalah,” ujar beliau. –UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.