Najib Banding Parlimen Dan PPV, Nyawa Ahli Parlimen Lagi Penting Dari Ribuan Orang Awam?
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – “Agak susah bagi sesiapa yang waras untuk percaya bahawa sidang Parlimen esok perlu ditangguh ke satu tarikh yang belum diumum sebab COVID-19.”
Demikian bidas Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mempersoal Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat yang ditangguhkan seperti dimaklum semalam.
“Saya bagi contoh. Pada 12 Julai, 204 petugas disahkan positif COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre, Shah Alam. Kemudian PPV tersebut ditutup sehari dan dibuka semula pada 14 Julai.
“Manakala 11 individu dikesan positif daripada 1,183 saringan di parlimen pada hari Khamis. Jadi, ianya amat sukar bagi sesiapa untuk percaya bahawa PPV yang melibatkan puluhan ribu orang awam dibenarkan beroperasi semula hanya dua hari selepas 204 petugas dikesan positif tetapi Parlimen pula perlu ditutup bagi tempoh yang tidak lagi diketahui.
“Mengikut contoh PPV Shah Alam, Parlimen sepatutnya sudah selamat dibuka bermula Sabtu. Jadi, kenapa sesi pada hari Isnin dibatalkan juga? Adakah kerajaan percaya bahawa nyawa 220 ahli Parlimen lebih mahal berbanding ribuan orang awam yang lawat ke PPV Shah Alam tiap-tiap hari?” soal beliau menerusi satu hantaran di Facebook.
Bekas Perdana Menteri itu malah mempersoal, sekiranya situasi di Parlimen amat bahaya bagaimana pula menteri dan ahli Parlimen dibenarkan meninggalkan Dewan Rakyat tanpa disaring pada tengah hari Khamis untuk berkunjung ke rumah Perdana Menteri.
“Andainya benar bahawa Perdana Menteri ada sokongan cukup dan jitu 110 ataupun 115 ahli Parlimen maka kerajaan Perikatan Nasional sepatutnya membenarkan Ordinan-ordinan Darurat dibahas dan diundi dalam Dewan Rakyat.
“Bukan tiba-tiba menipu bahawa ianya sudah back-date batal yang akhirnya membawa kepada kemurkaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan sekiranya benar bahawa Perdana Menteri ada sokongan cukup dan jitu, beliau tak akan hilang diri sejak memberi sesi penerangannya pada hari Isnin.
“Dia datang pada pagi Isnin untuk beri penjelasan tapi apabila tiba masa untuk dia disoal, dia sudah lari diri. Tak pernah muncul kembali di Parlimen sejak itu,” ujar beliau. – UMNO Online