Pembatalan Ordinan Darurat Tanpa Perkenan Agong Adalah Satu Penderhakaan, Wajib Diambil Tindakan

SEREMBAN, 31 Julai – Wanita UMNO Negeri Sembilan merujuk kepada kenyataan Presiden dan Timbalan Presiden yang melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Perdana Menteri dan Menteri Undang-undang yang membatalkan Ordinan Darurat tanpa mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong di Persidangan Parlimen pada Isnin lalu.

Kata Ketuanya Latteffah Ali, pengisytiharan pembatalan yang dibuat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong adalah satu penghinaan dan penderhakaan terhadap institusi Raja-Raja Berperlembagaan.

“Penderhakaan ini memang tidak boleh diterima akal dan sebagai Perdana Menteri sebuah negara yang berdaulat, Tan Sri Mahiaddin Yassin sewajarnya lebih arif akan peraturan dan perlembagaan negara.

“Kami Wanita UMNO Negeri Sembilan menzahirkan rasa kesal dengan tindakan Perdana Menteri dan Menteri Undang-undang yang telah membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong yang mana ini jelas menunjukkan penderhakaan dengan membelakangkan titah baginda,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Ujarnya lagi, UMNO adalah sebuah parti yang menjadi benteng utama membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO.

“Maka sebarang tindakan yang membelakangkan Yang di-Pertuan Agong sama sekali tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana ianya bercanggah dengan prinsip Rukun negara.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mana majoritinya membariskan kepimpinan Melayu sewajarnya menunjukkan contoh tauladan yang baik dalam menjunjung tinggi Yang di-Pertuan Agong sebagai kepimpinan tertinggi negara,” katanya.

Justeru itu tambahnya, Wanita UMNO Negeri Sembilan menyokong penuh kenyataan Presiden UMNO dan juga mendesak Perdana Menteri dan Menteri Undang-undang bertanggungjawab atas kerosakan yang berlaku dan meletakkan jawatan serta memohon keampunan kepada baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Jadilah pemimpin yang benar-benar bermaruah dan bertanggungjawab yang boleh dicontohi oleh rakyat jelata bak umpama minyak setitik, di laut sekalipun akan timbul jua,” gesanya.

Dalam isu yang sama, Wanita UMNO Negeri Melaka dalam satu kenyataan juga menggesa Perdana Menteri, Menteri Undang-undang dan Peguam Negara mestilah bertanggungjawab di atas kerosakan yang diterjemahkan secara salah yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Rakyat sudah tak mampu dengar maklumat yang mengelirukan yang menuju ke arah kemusnahan kejatuhan ekonomi rakyat terbeban dan nyawa rakyat terancam pandemik COVID-19 dan menakutkan.

“Sepatutnya kerajaan PN meneruskan misi ke arah keharmonian dan kesejahteraan rakyat melalui pembentangan pelan pemulihan ekonomi lebih jelas dan bantuan kepada rakyat lebih telus dan adil,” kata kenyataan itu.

Bidas Wanita UMNO Negeri Melaka lagi, Perdana Menteri tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta membelakangi fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.