Derhaka Kepada Agong: PM Perlu Letak Jawatan, Elak Krisis Perlembagaan – Puteri UMNO Terengganu

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Pergerakan Puteri UMNO Negeri Terengganu menganggap dengan ungkapan dukacita Yang Di Pertuan Agong atas pembatalan ordinan darurat tanpa perkenan Baginda dan konflik kenyataan dari pejabat Perdana Menteri (PM) jelas menunjukkan negara kini menuju krisis perlembagaan sehingga melakar sejarah hitam demokrasi berparlimen yang tidak pernah berlaku.

Sehubungan itu ketuanya, Norfuzilawati Yusoof berkata, PM perlu letak jawatan ditambah lagi dengan kegagalan demi kegagalan terzahir di bawah pimpinan pentadbirannya dalam mengurus pandemik COVID-19 pada ketika ini amat mengecewakan semua pihak.

“Puteri UMNO Terengganu mendukung dan menyokong perjuangan organisasi dan parti serta keputusan Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) untuk memutuskan sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin Md Yasin meletakkan jawatan secara terhormat dan jelas terbukti keputusan itu sangat tepat ekoran ‘peperangan’ dengan Istana Negara kini menunjukkan PM tidak kompeten menggalas tanggungjawab ini lagi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ujarnya, krisis perlembagaan perlu dielakkan memandangkan negara sedang berdepan dengan situasi yang sangat luar biasa – gabungan krisis kesihatan, krisis ekonomi dan ketidak stabilan politik secara serentak.

“Kita mesti mengamalkan pembaharuan dalam berpolitik dan bukannya masih dengan amalan politik tanpa batas.

“Bersama kita tetapkan pendirian bahawa UMNO adalah parti keramat yang perlu dijaga tanpa dicemari. Usah dilupakan UMNO sebuah parti utama yang menjadi saksi pembangunan dan kecemerlangan Malaysia selama 60 tahun,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.