15 Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kedah Tuntut PM Letak Jawatan

ALOR SETAR, 31 Julai – Kesemua 15 Ketua Pemuda UMNO Bahagian di negeri ini sepakat menuntut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan bersama seluruh barisan Kabinet dan Peguam Negara, serta-merta.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Mohd Fadzil Zolkipli berkata, tuntutan itu dibuat berikutan penderhakaan Perdana Menteri serta barisan Kabinet terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membabitkan proklamasi dan ordinan darurat.

Selain itu, desakan tersebut dibuat berikutan penipuan fakta dan muslihat dilakukan bagi menyembunyikan keputusan yang memberi impak besar kepada rakyat, semata-mata demi melindungi kepentingan kerajaan.

“Anggota Kabinet bertanggungjawab melepaskan jawatan bersekali dengan Perdana Menteri atas dasar tanggungjawab bersama dan kegagalan mereka bersuara bagi menyanggah muslihat kerajaan dalam hal ini.

“Tiada seorang pun anggota Kabinet yang bersuara membantah tindakan salah kerajaan itu,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, rakyat sudah tidak menaruh keyakinan terhadap kerajaan sedia ada dan penderhakaan yang dilakukan kerajaan tidak mungkin dapat dimaafkan.

“Letak jawatan adalah jawapannya. Walaupun kesalahan itu tidak akan mendapat kemaafan dari seluruh rakyat Malaysia, namun setidak-tidaknya selamatkanlah sedikit maruah pemerintah kerajaan sekarang dengan segera melepaskan jawatan.

“Jangan sampai rakyat berarak di jalan raya kerana itu hanya akan merencatkan imej demokrasi Malaysia,” katanya. – www.getaran.my